My photo
Iejay is the nick name of a la-la girl who loves anything so called books, the net, eating, sleep, shopping and holidays...

Wednesday, June 24, 2009

Ku Telah Jatuh Cinta... Lagi - Da' Prolog

Masihkah kau ingat...Kita berlari-lari...
Di kaki langit... Mencari pelangi...


Sekitar tahun 80-an

Jam kotak kayu antik di dinding rumah menunjukkan waktu ketika ini pukul 3 petang. Hujan renyai-renyai yang membasahi Kampung Lubok Katak Tapah sejak tengah hari tadi baru sahaja reda.


Cucu-cucu lelaki Tok Kassim dan anak bongsunya yang di tingkatan satu itu, mula mengatur langkah untuk keluar; meneruskan hajat mereka menonton pertandingan bola dekat Padang Majlis Bandaran. Hari ini ada perlawanan bola sepak di antara Batang Padang United dengan Kampar United. Di sini, tidak kira pasukan mana yang bermain dan apa standard mereka, agak ramai juga yang akan duduk di tepi padang menonton setiap kali adanya perlawanan .


Selepas perlawanan bola itu nanti, mereka sudah merancang hendak pekena Rojak di Restoran Haji di hadapan stesen bas pula. Tapi ini perancangan khas untuk budak-budak lelaki sahaja. Adik-beradik mereka yang perempuan tidak dibenarkan untuk ikut.


Lagipun Pak Yob dan Mak Yong sudah berjanji untuk membawa saudara-mara mereka yang perempuan ke panggung wayang menonton cerita baru Hindustan pada waktu malam nanti.


"Pak Su! Pak Su nak pergi mana tu? Tunggu lah Zara. Zara nak itut Pak Su jugak."


Tidak sampai sepelaung lagi kumpulan mereka melangkah, kedengaran satu suara kecil dan sedikit pelat berteriak memanggil daripada anak tangga rumah.


"Mana boleh! Kita orang nak pergi tengok bola. Budak perempuan mana boleh ikut kita orang. Lagipun Zara budak kecik. Zara duduk rumah sajalah."


Sepatah-patah Zairul Qayum, abang Ngah kepada budak bernama Zara Queza itu menjawab bagi pihak budak-budak lelaki yang lain. Hati Qayum menggerutu melihat tingkah adiknya itu.


Sibuk sahaja budak kenit ni mahu mengikut. Pantang betul tengok orang nak berjalan. Semalam semasa mereka semua pergi memancing ikan keli selepas hujan lebat dan pergi menangkap rama-rama untuk dijual kelmarinnya (sekalipun hanya dapat lima sen sahaja seekor) pun dia menyibuk nak mengekor sama.


"Alah!!! Zara nak itut! Zara nak itut juga!"


Gadis cilik itu yang kadang-kadang digelar budak kenit oleh datuk mereka kerana dialah yang paling kecil di dalam keluarga Tok Kassim (buat masa ini) sudah mula meraung lima harakat bila mendengar si abang membantah permintaannya.


"Dahlah... dah tu... Jangan nak teriak lagi. Kalau Zara nak ikut, moh cepat. Sarung selipar tu. Kemudian pergi khabar ke Opah dulu kata Zara nak ikut."


Tidak mahu melihat dua-beradik itu terus bertengkar, Aidid Lukman si Pak Su mereka segera menjadi pendamai. Biar sahajalah kalau anak saudara perempuannya itu nak mengikut. Budak tu lagi dibantah, lagi kuat teriak nya nanti. Semakin lambat pula mereka sampai ke Padang Majlis Bandaran nanti. Lagipun tak apa, dia boleh tolong jagakan anak saudara dia yang seorang tu. Bukan payah mana pun. Budak kenit tu, selalunya tak ada masalah hendak mendengar kata Pak Su dia ni.


Lalu Zara pantas membuat seperti apa yang disuruh oleh Pak Su itu tanpa banyak soal. Kemudian dia terus mengikut kumpulan budak-budak lelaki itu menuju ke Padang Majlis Bandaran; berjalan dengan riang di sebelah Pak Su. Sekali-sekala langkahnya terlompat-lompat seperti sedang bermain tali skipping.


Ketika mereka berjalan menuruni Bukit Baldwin untuk ke Padang Majlis Bandaran, langkah si kenit Zara tiba-tiba terhenti.


"Ee, Pak Su! Tengok pelangi lah! Zara nak pergi kejar pelangi tulah. Mak Yang cerita kan... anak arnab dia main lompat-lompat sampai dekat hujung pelangi tu, kemudian dia jumpa banyak harta karun tau!"


Dan anak kecil itu terus berlari-lari hendak mengejar pelangi yang dilihatnya itu.


'Orang dah kata dah dia akn buat perangai!'Qayum hanya menggeleng melihat telatah si adik.


Aidid Lukman yang risau melihat pula pantas mengejar si anak saudaranya itu.


"Zara!!! Tunggulah dulu..."




Sunday, June 7, 2009

Testing entry 123

Ku Jatuh Cinta...
Lagi-lagi Ku Jatuh Cinta...
Ku Jatuh Cinta... Pada Setiap Jejaka...
Dia atau Dia...
Yang Mana Harus Ku Terima...
Aku pusing...
Untuk Memilihnya
Hmm... nak pilih Chad ke Ventimiglia? Baik amik Jared lah! Isy... tensionnya...