My photo
Iejay is the nick name of a la-la girl who loves anything so called books, the net, eating, sleep, shopping and holidays...

Friday, July 10, 2009

Ku Telah Jatuh Cinta... Lagi – Bab 3






Dah sah.


Si lelaki anak mata coklat jernih itu memang satu kumpulan dengan Zara.


Yippee… Seronoknya Zara!


Tapi… sampai sekarang, Zara masih tak tahu apa nama si dia tu. Sedihnya rasa…


Dekat kolej matrikulasi ini bukannya macam di sekolah. Bila setiap kali bermula sesi baru, akan ada sesi pengenalan diri setiap pelajar dalam kelas. Di sini, mula sahaja kelas, cikgu masuk dan terus sahaja mengajar. Pandai-pandai sendirilah kalau nak berkenal-kenalan dengan rakan sekumpulan.


Hmm... Apa patut Zara buat ya? Zara ni pemalu orangnya. Jadi bagaimana dia nak tahu apa nama si lelaki anak mata coklat jernih itu? Entah mengapa lima tahun belajar di sebuah sekolah menengah perempuan telah membuatkan seorang Zara Queza ini menjadi gadis yang pemalu pada kaum Adam.


Sedangkan suatu ketika dahulu semasa di zaman kanak-kanaknya Zara tidak pernah kisah tentang isu gender bila berkawan. Malah dia amat suka sekali bila diajak berkungfu dengan meniru aksi filem Karate Kid mahupun berlumba basikal oleh kawan-kawan lelakinya.


Ketika ini, waktu tutorial Kimia. Cikgu tutorial kumpulan Zara masih tidak nampak lagi bayangnya. Tidak tahulah cikgu itu sememangnya terlambat atau tidak akan datang langsung.


Kalau ikutkan hati Zara, dia memang rasa malas nak datang semua kelas tutorial. Disebabkan ini ialah kolej baru dan cikgu yang mengajar masih tidak cukup, kelas tutorial di sini sudah jadi macam biskut chips more sahaja. Bila kita rajin nak datang, kelasnya dibatalkan. Tetapi bila kita rasa malas nak datang, elok pula ada cikgunya muncul nak mengajar.


Lagipun soalan-soalan yang telah diberikan oleh cikgu semasa kuliah untuk dibincangkan di dalam kelas tutorial, satu apa pun Zara tak sentuh. Nak tiru Alia seperti mana yang biasa di buatnya semasa di sekolah dahulu tak bolehlah pula sebab kuliah mereka diajar oleh cikgu yang berbeza.


Tetapi disebabkan inilah satu-satunya peluang yang dia ada untuk menatap si lelaki anak mata coklat jernih itu sepuas-puasnya, Zara terus jadi kuat semangat untuk membatalkan niat jahatnya hendak memonteng kelas tutorial. Agak-agaknya si lelaki anak mata coklat jernih itu jenis yang siapkan soalan tutorial dia ke tidak ya?


Masa terus berlalu. Zara terus duduk-duduk sahaja membuang masanya menunggu kedatangan cikgu tutorialnya; sambil sesekali Zara menjeling si lelaki anak mata coklat jernih itu daripada tempat duduknya. Dalam kepalanya dia asyik terfikir bilalah akan ada papan tanda dengan lampu bling-bling jatuh daripada langit memaparkan nama budak lelaki itu pada dia ya?


Dan... dalam pada dia berangan sambil main jeling-jeling pandang-pandang pada si lelaki anak mata coklat jernih itu, tiba-tiba dia teringat akan sesuatu.


Tadi dia ada ternampak Mek Za, salah seorang teman satu kumpulan yang berasal daripada Pasir Putih Kelantan itu bersembang-sembang dengan budak-budak lelaki kumpulan ini. Ha, jadi mesti Mek Za tu tahu nama si lelaki anak mata coklat jernih itu kan?


Lalu Zara terus menegur Mek Za yang duduk di belakang kerusinya; sedang ralit menjawab soalan tutorial. Dengan loghat Kelantan yang konon macam pro-sak, Zara memulakan misinya iaitu mari-kita-bertanya-pada-Mek-Za-untuk-mendapatkan-nama si lelaki anak mata coklat jernih itu.


"Eh, Mek Za… nok tanya mu betar. Mu tahu dok namo budok-budok jate kelah kita ni?"


"Tahu la sikik. Ado jugok yang tok kena. Gapo?"


Okey, nampaknya ada respons yang positif.


"Tu hok paling segok, muko hok celuk tu namo gapo hah?"


"Hok muko celuk tu? Kalau tak silak aku, nama dia Sayid… Sayid apo ya? Lupolah pulak. Tapi aku denga sek-sek dio pagil Shad... Chad... ke apo entah..."


Syed? Dalam senarai pelajar kelas Zara hanya ada seorang sahaja yang bernama Syed. Syed Arshad Maurice Bin Syed Ardafi!


Jadi... betullah tekaan Zara hari tu. Nama hebat tersebut ialah nama dambaan hati Zara; si lelaki anak mata coklat jernih itu!


Syed Arshad Maurice Bin Syed Ardafi.


Nama itu diseru berkali-kali oleh hati Zara.


Oh, rupanya orang panggil dia Chad...


Arshad… Chad


Arshad Maurice… Chad Maurice.


Hmm… sedap juga nama tu!


Senyuman tanda puas hati kerana nama si lelaki anak mata coklat jernih itu akhirnya sudah diketahui kini bergayut di bibir Zara.


Oh, Chad Maurice...


"Eh, gapo mu tanya? Mu nih... suko dio eh?"


Tengah sedap menyeru-nyeru nama timangan buat si kekasih hati, terdengar Mek Za bertanya soalan maut. Alamak, dah kantoi ke?


"Hah, dok lah! Sajo aku nok tahu."


Dengan muka buat-buat serius Zara pantas menjawab.


"Eh, Zara, ni aku nok tanyo betar. Mu ni asa mano sebena? Haghi tu mu kato asa KL. Ni panda pulok mu kecek klate."


"Oh, aku orang Malaysialah."


Dengan bahasa baku pula; penuh bersahaja dan senyuman yang lebar Zara menjawab soalan Mek Za itu. Mek Za pula memandang Zara dengan muka pelik.


Dalam hati Zara, seribu syukur diucapkan bila Mek Za tidak lagi bertanya lanjut kenapa Zara tiba-tiba sahaja hendak tahu nama si Chad Maurice itu.


Amboi, Zara... Dan-dan ni juga dia dah tak guna lagi gelaran si lelaki anak mata coklat jernih. Terus panggil si dia Chad Maurice sahaja.


"Kalo mu nak suruh kecek kelate, aku tak dok maksalah."


Zara senyum lagi.


"Kalau mung nak suroh aku cakap ganu pong bereh. Awok nak suroh saya cakap Pahang tu sikit-sikit boleh le juge. Cakap Johor tu pandailah sikit-sikit, tapi."


Muka Mek Za sudah semakin blur.


"Ha, ekau nak suruh ese cakap nogori pun tak do masalah nyo. Tapi yang paling teman pandei, mestilah cakap Perak. Sebab kampung opah teman tu letaknya dekat Lubok Katak. Tak ade jauhnye dengan kedei-kedei dekat pekan Tapah tu."


Senyuman Zara dah semakin lebar melihat muka terkebil-kebil Mek Za.


"Hmm... kalau nak suruh cheq cakap utara pun bulih saja. Pasal pak menakan dengan mak menakan cheq banyak dok sana nun. Cakap Sarawak tu kamek tahulah juga sikit-sikit. Kalau Sabah tu pun boleh saja bah."


"Huh, mu ni gilo lah!"


Mek Za terus bangun daripada duduknya dan keluar daripada kelas. Pergi ke tandas agaknya.


Zara pula tergelak sendirian melihat muka Mek Za yang nampak bengang dengan jawapan dia itu. Tangannya di letakkan di mulut supaya bunyi tawanya itu tidak didengari oleh rakan sekumpulan yang lain. Terutamanya Chad Maurice.


Namun saat dia mengangkat mukanya, memandang ke arah Chad Maurice; dia perasan lelaki itu juga sedang memandang pada dia. Mungkin lelaki itu terdengar suara Zara yang seronok tergelak sendirian agaknya.


Alamak, kontrol ayu Zara... kontrol ayu...


Tuesday, July 7, 2009

Ku Telah Jatuh Cinta... Lagi – Bab 2

                                                                    
 
Day after day
Time passed away
And I just can't get you off my mind
Nobody knows, I hide it inside
I keep on searching but I can't find
The courage to show to letting you know
I've never felt so much love before
And once again I'm thinking about
Taking the easy way out
But if I let you go I will never know
What my life would be holding you close to me…
 

 

Lagu If I Let You Go nyanyian kumpulan Westlife kedengaran berkumandang daripada pemain kaset Alia buat entah kali yang ke berapa dalam hari ini. Sejak Asmaleeza yang merupakan salah seorang teman sebilik mereka meminjamkan kaset kumpulan Westlife itu kepada Alia, hampir sepanjang hari album itu diulang putar oleh Alia tanpa jemu.

'Siapa ya dia tu? Kenapa aku dah tak ada ternampak dia tu di mana-mana lagi sepanjang minggu ni?'

            Hati seorang Zara Queza terus tertanya. Hari ini sudah nak masuk dekat empat hari dia berada di Kolej Matrikulasi ini. Tetapi budak lelaki kacak yang telah mencairkan hati gadisnya di kafeteria hari itu sampai hari ini masih tidak diketemui nya semula lagi. Semasa aktiviti LDK atau beriadah di waktu petang mahupun ketika menguruskan hal pendaftaran di Bangunan Pentadbiran, mata Zara sering melilau ke sana-sini dengan harapan dia akan dapat menatap anak mata coklat jernih itu semula. Namun masih juga dia kempunan menatap mata itu buat sekali lagi.

"Zara!!! Nah ada surat untuk kau. Aku ternampak dia orang letak dekat notice board bangunan Admin tadi."

Lamunan Zara yang sedang berbaring di atas katil sambil memikirkan di manakah gerangan nya si lelaki anak mata coklat jernih itu terus berterbangan pergi apabila mendengarkan suara teruja Shamsina; seorang lagi teman sebiliknya yang mungkin sahaja baru sahaja pulang daripada bangunan pentadbiran dan masih berdiri di muka pintu.

"Surat? Zara? Ala... mana aci… First week lagi kau dah dapat surat."

Alia yang juga sedang berbaring di katilnya tadi pantas bangun apabila mendengar kata-kata Shamsina itu. Matanya tidak lepas memerhati setiap langkah Zara apabila Shamsina menyerahkan surat tersebut kepada temannya itu; daripada Zara mengoyakkan sampul, membuka lipatan surat, membaca surat tersebut sebelum akhirnya meletakkan sahaja surat itu di meja belajarnya lalu berbaring semula tanpa riak memandang siling bilik. Melihat tingkah Zara itu, Alia tidak dapat menahan mulutnya daripada untuk terus bertanya.

"Surat daripada siapa tu Zara? Semacam sahaja aku tengok muka kau."

"Alah, kawan chatting aku. Budak Seremban. Hari tu aku ada beritahu dia yang aku masuk sini. Kau tahu dia letak alamat dekat surat ni kan... Zara Queza Zaidi, Kolej Matrikulasi Negeri sembilan, Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Isy, nasib baiklah sampai dekat tangan aku ni."

"Kawan chatting? Dah tu kenapa muka semacam sahaja? Gaya macam orang dapat surat cerai aja."

"Sebab aku tak suka budak tu. Hari tu sebelum masuk sini, dia ada call aku dekat rumah. Suka-suka hati sahaja dia kata dia suka dekat aku ni. Ee... tak mahulah aku. Kami baru beberapa kali chatting dan berbual telefon serta sekali exchange gambar, dia dah boleh suka dekat aku ni. Entah apa-apalah budak tu."

Kawan chatting Zara tu namanya Haris. Dia tu sama baya dengan Zara. Sekalipun masa sekolah dulu dia budak MRSM dan kata mak bapanya itu orang kaya, Zara tetap tak suka dekat dia. Sebabnya...

1.      Dia tak kacak macam si lelaki anak mata coklat jernih itu. Dia tu gelap dan agak tembam. Zara nak lelaki yang putih-putih aja supaya nanti dia akan dapat anak yang comel-comel. Amboi, Zara ni gaya dia memilih macamlah budak lelaki tu dah nak ajak kahwin dan-dan ni juga.

2.      Walaupun dia budak MRSM, dia sangat suka berlagak dengan kepandaian dia. Katanya dalam salah satu surat dia, peperiksaan percubaan SPM dia dapat skor 8 A1 dan dua A2. Tak ke nampak poyo aja mamat ni?

3.      Dia tu nama sahaja budak MRSM, tetapi eja nama kumpulan Westlife pun boleh salah. Kata minat kumpulan tu tapi ada ke patut dia eja Weslife tanpa huruf T?

4.      Err... dia tak handsome...

 

Aduh Zara!!! Alasan yang diberi tak boleh dipakai langsung. Itulah siapa suruh suka sangat melayan lelaki yang entah apa-apa jenisnya dalam chatroom tu? Bila tengok muka tak handsome, mulalah kerjanya nak reject aja. Ingat awak tu cantik sangat ke?

Eh, Zara bukan saja-saja nak layanlah. Zara Cuma nak cari potential Mr. Right. Bukankah ada banyak di dalam majalah cerita tentang mereka-mereka yang berkenalan di dunia chatting sehingga akhirnya membawa ke jinjang pelamin? Manalah tahu kot-kot Zara pun boleh jadi macam tu kan? Lagipun siapa suruh lelaki-lelaki itu mudah jatuh hati dekat Zara? Zara cuma bagi gambar pasport sahaja tau. Itupun yang tokeh Kedai Foto Yohan tu dah touch up supaya gambar Zara nampak lebih comel jadinya.

 "Zara, jom bersiap. Kata nak pergi tengok kumpulan. Rasanya time petang macam ni dah kurang sikit orang nak berkerumun."

Ingatan Zara pada teman cyber yang sudah kena reject itu terus padam apabila dia mendengar suara Alia mengajaknya turun ke bahagian pentadbiran untuk melihat kumpulan manakah mereka telah ditempatkan. Hari ini, aktiviti pelajar-pelajar baru kolej ini hanyalah mendapatkan nombor kumpulan dan jadual kelas mereka sahaja. Zara dan Alia sengaja menunggu petang-petang sedikit untuk melihat kumpulan dan jadual mereka kerana malas mahu berebut-rebut dengan pelajar-pelajar lain di hadapan papan kenyataan.

 "Jom lah."

 

 

******

 

Zara sudah siap melihat kumpulan dia dan menyalin jadual kelasnya. Dia ditempatkan dalam kumpulan 17. Manakala Alia pula di dalam kumpulan 8. Tidak ada satu nama pun di dalam kumpulannya yang dia kenali. Isy, entah macam manalah dia hendak menghadap subjek-subjek yang akan dipelajarinya nanti terutamanya subjek fizik, matematik tambahan, kimia dan pengaturacaraan komputer.

Zara ni bukannya pandai sangat. Dia pun tak tahu kenapa dia boleh terpilih untuk intake awal dalam Program Kolej Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia ini. Dulu dia saja-saja isi borang permohonan disebabkan semua rakan-rakan Melayu di kelasnya semasa sekolah menengah mengisi permohonan ke program ini.

Masa menjawab soalan ujian saringan untuk ke program ini dahulu pun dia hanya jawab main-main sahaja. Dia main teka sahaja jawapan berdasarkan balingan dadu yang dibuat daripada getah pemadamnya.

Dulu semasa di sekolah menengah, walaupun dia adalah pelajar kelas sains tulen dan selalu mendapat kedudukan di bawah 15 apabila tiba musim peperiksaan, dia tetap rasa dia bukan pelajar yang pandai. Dia hanya selalu skor untuk mata pelajaran teras sahaja. Untuk mata pelajaran biologi, kimia, fizik dan matematik tambahan selalunya dia dapat cukup-cukup makan sahaja.

Dulu, semua laporan kimianya dia salin bulat-bulat daripada Alia kerana selalunya bila masuk sahaja makmal, dia akan tegakkan buku laporan yang agak tinggi itu dan mula Zzz... melayari alam mimpi dengan selamba sepanjang waktu pertama kelas tersebut.

Untuk subjek matematik tambahan pula dia selalu meminjam buku Alia, dan juga buku Yoh Ting ketua kelasnya. Tetapi sekalipun dia meniru, dia hanya akan meniru beberapa jawapan sahaja daripada Alia dan beberapa jawapan lagi daripada buku Yoh Ting. Jadi Zara sentiasa terselamat daripada mendapat cop SJT (Sila  Jangan Tiru) daripada Puan Sen, guru matematik tambahannya itu.

Penantian Zara akan Alia yang masih belum lagi habis menyalin jadual kelasnya terganggu apabila dia terpandang si lelaki anak mata coklat jernih yang ditunggu-tunggunya untuk terserempak lagi sedang berdiri bersama seorang teman di hadapan papan kenyataan senarai kumpulan dan jadual waktu kelas.

Daripada tepi koridor berdekatan papan kenyataan itu, Zara terus memerhati tingkah lelaki yang menjadi dambaan hatinya itu secara senyap-senyap. Tiba-tiba mulutnya terasa mahu terlopong saat dia melihat lelaki itu menunjukkan pada kawannya senarai kumpulan 17 dan berdiri agak lama di situ. Itu senarai kumpulan Zara!

Eh, dia sama kumpulan dengan Zara ke? Ke kawan dia yang sama kumpulan dengan Zara? Dalam hati Zara tidak putus-putus berdoa janganlah kemungkinan kedua itu yang terjadi.

Tiba-tiba Zara teringat, tadi di dalam senarai kumpulannya dia perasan ada satu nama yang agak hebat tercatat di situ.

Syed Arshad Maurice Bin Syed Ardafi.

Entah-entah agaknya itulah nama si lelaki anak mata coklat jernih yang sudah bertakhta di hati Zara ini tak? Nama tu dah memang nampak ala-ala mix. Muka budak lelaki itu pula sememangnya nampak macam mix blood kan?

Isy, Zara! Takkanlah kalau muka kacak, nama pun mesti hebat-hebat juga? Mana teori yang kau pakai, hah? Entah-entah si lelaki anak mata coklat jernih yang kau damba-damba itu namanya Kemetot Bin Kulop.

Hei, mana ada dalam senarai pelajar dalam kumpulan Zara tadi nama Kemetot Bin Kulop lah!


Thursday, July 2, 2009

Ku Telah Jatuh Cinta... Lagi – Bab 1




14 Februari 2000



"Zara!!! Tunggulah..."


Langkah kaki Zara Queza menaiki tangga ke tingkat satu asrama blok C Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan terhenti di tengah jalan apabila terdengar jeritan kecil suara seseorang memanggil namanya. Pegangannya pada kotak yang sedang diangkatnya itu dikejapkan sebelum dengan agak payah dia menolehkan kepalanya kepada insan yang memanggil namanya itu.


"Alia? La... kau ke yang menyeru nama aku? Ceh, ingatkan mana-mana bakal mak mentua aku yang panggil. Isy, tak boleh ke tunggu aku sampai atas dulu ke? Ada ke patut nak suruh orang berhenti di tengah-tengah dunia ni. Kotak aku ni dahlah berat macam peti ais tau tak?"


Melihatkan gerangan orang yang memanggil namanya itu adalah Alia, Zara kembali meneruskan langkahnya yang tinggal empat anak tangga sahaja lagi; mengangkat kotaknya yang agak berat itu untuk sampai ke tingkat satu.


Agak termengah-mengah nafasnya sesudah dia sampai ke anak tangga teratas tingkat satu dan meletakkan kotaknya itu ke lantai.


Haila Zara… kotak tu maha berat sebab kau yang sibuk nak angkut semua isi rumah bawa ke asrama. Ini baru kena duduk Kuala Pilah aja, belum lagi kena pos ke Zimbabwe. Gaya bawa barang macam tak nak balik-balik dah sahaja ke Kuala Lumpur.


"Eh, kau bawa peti ais ke? Best...best... nanti aku boleh tumpang sekaki!"


Zara bercekak pinggang memandang Alia apabila mendengar ulasan temannya itu yang tersengih-sengih memandang dia sambil menaiki tangga. Di kiri dan kanan tangan temannya itu terdapat dua beg plastik dalam jinjingan.


Hari ini adalah hari pendaftaran pelajar-pelajar kursus matrikulasi di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, Kuala Pilah. Zara Queza adalah antara salah seorang daripada 2,135 orang yang terpilih untuk ambilan Februari sebagai pelajar kolej ini. Setahu dia Alia, teman sekelasnya semasa sekolah menengah dahulu juga mendapat kursus yang sama dengannya iaitu kursus asasi Sains Fizikal.


"Peti ais apa kebendanya? Ni semua barang-barang yang aku nak guna dekat sinilah. Aku isi semua dalam kotak. Aku baru nak cari bilik aku ni. Eh, kau dapat bilik mana hah? Bilik aku dekat C1.1.2."


"Zara!!! Samalah kita! Seronoknya ada kawan yang dah kita kenal sebilik. Tadi aku dah letak barang-barang dalam bilik. Ini barang aku yang last. Katil sebelah aku tu kosong lagi. Kau ambik katil yang tu ya? Eh, emak dengan ayah kau mana?"


Sekali lagi Alia menjerit kecil apabila menyedari mereka berdua telah ditempatkan sebilik. Semasa sekolah dahulu mereka hanya rapat biasa-biasa sahaja walaupun mereka pernah duduk satu taman perumahan yang berselang satu jalan sebelum Alia sekeluarga berpindah ke Setiawan selepas SPM; emak ayah mereka kenal-mengenali antara satu sama lain dan adik Alia berkawan rapat dengan adik kembar Zara. Tapi siapa tahu, mungkin selepas ini mereka boleh menjadi sahabat yang sangat-sangat rapat?


"Ada dekat kereta lagi. Dengan Qayum."


Zara menjuih bibir apabila menyebut nama abang dia yang hampeh-lagi-senget itu. Alia hanya tersenyum cuma melihat muka Zara ketika menyebut nama abangnya itu kerana dia tahu sejauh mana Zara ngam dengan abang ngahnya itu.




******




"Zara… kau tunggu sekejap ya? Aku nak beli air. Ramailah pula yang tengah beratur tu."


Waktu sekarang baru sahaja menunjukkan jam 6.30 petang. Ketika ini Alia dan Zara berada di kafeteria untuk membeli makanan. Bosan duduk-duduk sahaja di bilik selepas keluarga masing-masing yang menghantar mereka sudah pulang; mereka mengambil keputusan untuk ke kafeteria berdua.


Di hari pertama ini masih tiada apa-apa aktiviti yang telah dijadualkan. Barang-barang mereka semua sudah siap dikemas. Esok barulah minggu orentasi akan dimulakan. Itupun kalau ikut aturcara yang diberi, di siang hari aktiviti mereka semuanya tertumpu kepada aktiviti pendaftraan dan mendapatkan buku serta jadual kelas sahaja. Pada waktu petang ada aktiviti riadah dan hanya di sebelah malam sahaja ada aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) mengikut kumpulan yang akan dibahagi-bahagikan esok.


Teman sebilik mereka yang lagi dua orang itu masing-masing tidak ketahuan ke mana perginya. Mungkin mereka masih bersama-sama keluarga mereka agaknya. Ataupun mereka pergi ke bilik rakan-rakan mereka yang sama-sama ditempatkan di kolej ini. Malahan nama kedua-dua mereka pun Zara dan Alia langsung tidak tahu. Masih tidak sempat lagi mereka hendak berkenal-kenalan.


"Okey, aku tunggu. Kau tolong belikan aku Milo Ais sekali tau."


Sementara menanti Alia beratur membeli air, Zara duduk di salah satu meja yang tidak berpenghuni. Matanya memerhati wajah-wajah pelajar yang semakin ramai memenuhi kafeteria itu untuk membeli makanan.


Tiba-tiba pandangan matanya melekat pada wajah seorang lelaki yang sedang memilih lauk di salah satu kaunter kafeteria itu. Bola matanya terasa macam nak jatuh tergolek melihat lelaki yang tingginya sedang-sedang itu sahaja tetapi wajahnya sangat-sangat kacak pada pandangan mata gadisnya. Dengan wajah yang nampak ada iras anak mix dan mata yang agak sepet, hati Zara sudah mula berdag-dig-dug.


Rasa macam nak menjerit sahaja dan-dan tu juga pada Alia yang masih beratur membeli air itu...


"Alia!!! Zara rasa macam dah jatuh cintalah dengan... dengan..."


Alamak, siapa ya nama dia tu???