My photo
Iejay is the nick name of a la-la girl who loves anything so called books, the net, eating, sleep, shopping and holidays...

Thursday, July 2, 2009

Ku Telah Jatuh Cinta... Lagi – Bab 1




14 Februari 2000



"Zara!!! Tunggulah..."


Langkah kaki Zara Queza menaiki tangga ke tingkat satu asrama blok C Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan terhenti di tengah jalan apabila terdengar jeritan kecil suara seseorang memanggil namanya. Pegangannya pada kotak yang sedang diangkatnya itu dikejapkan sebelum dengan agak payah dia menolehkan kepalanya kepada insan yang memanggil namanya itu.


"Alia? La... kau ke yang menyeru nama aku? Ceh, ingatkan mana-mana bakal mak mentua aku yang panggil. Isy, tak boleh ke tunggu aku sampai atas dulu ke? Ada ke patut nak suruh orang berhenti di tengah-tengah dunia ni. Kotak aku ni dahlah berat macam peti ais tau tak?"


Melihatkan gerangan orang yang memanggil namanya itu adalah Alia, Zara kembali meneruskan langkahnya yang tinggal empat anak tangga sahaja lagi; mengangkat kotaknya yang agak berat itu untuk sampai ke tingkat satu.


Agak termengah-mengah nafasnya sesudah dia sampai ke anak tangga teratas tingkat satu dan meletakkan kotaknya itu ke lantai.


Haila Zara… kotak tu maha berat sebab kau yang sibuk nak angkut semua isi rumah bawa ke asrama. Ini baru kena duduk Kuala Pilah aja, belum lagi kena pos ke Zimbabwe. Gaya bawa barang macam tak nak balik-balik dah sahaja ke Kuala Lumpur.


"Eh, kau bawa peti ais ke? Best...best... nanti aku boleh tumpang sekaki!"


Zara bercekak pinggang memandang Alia apabila mendengar ulasan temannya itu yang tersengih-sengih memandang dia sambil menaiki tangga. Di kiri dan kanan tangan temannya itu terdapat dua beg plastik dalam jinjingan.


Hari ini adalah hari pendaftaran pelajar-pelajar kursus matrikulasi di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, Kuala Pilah. Zara Queza adalah antara salah seorang daripada 2,135 orang yang terpilih untuk ambilan Februari sebagai pelajar kolej ini. Setahu dia Alia, teman sekelasnya semasa sekolah menengah dahulu juga mendapat kursus yang sama dengannya iaitu kursus asasi Sains Fizikal.


"Peti ais apa kebendanya? Ni semua barang-barang yang aku nak guna dekat sinilah. Aku isi semua dalam kotak. Aku baru nak cari bilik aku ni. Eh, kau dapat bilik mana hah? Bilik aku dekat C1.1.2."


"Zara!!! Samalah kita! Seronoknya ada kawan yang dah kita kenal sebilik. Tadi aku dah letak barang-barang dalam bilik. Ini barang aku yang last. Katil sebelah aku tu kosong lagi. Kau ambik katil yang tu ya? Eh, emak dengan ayah kau mana?"


Sekali lagi Alia menjerit kecil apabila menyedari mereka berdua telah ditempatkan sebilik. Semasa sekolah dahulu mereka hanya rapat biasa-biasa sahaja walaupun mereka pernah duduk satu taman perumahan yang berselang satu jalan sebelum Alia sekeluarga berpindah ke Setiawan selepas SPM; emak ayah mereka kenal-mengenali antara satu sama lain dan adik Alia berkawan rapat dengan adik kembar Zara. Tapi siapa tahu, mungkin selepas ini mereka boleh menjadi sahabat yang sangat-sangat rapat?


"Ada dekat kereta lagi. Dengan Qayum."


Zara menjuih bibir apabila menyebut nama abang dia yang hampeh-lagi-senget itu. Alia hanya tersenyum cuma melihat muka Zara ketika menyebut nama abangnya itu kerana dia tahu sejauh mana Zara ngam dengan abang ngahnya itu.




******




"Zara… kau tunggu sekejap ya? Aku nak beli air. Ramailah pula yang tengah beratur tu."


Waktu sekarang baru sahaja menunjukkan jam 6.30 petang. Ketika ini Alia dan Zara berada di kafeteria untuk membeli makanan. Bosan duduk-duduk sahaja di bilik selepas keluarga masing-masing yang menghantar mereka sudah pulang; mereka mengambil keputusan untuk ke kafeteria berdua.


Di hari pertama ini masih tiada apa-apa aktiviti yang telah dijadualkan. Barang-barang mereka semua sudah siap dikemas. Esok barulah minggu orentasi akan dimulakan. Itupun kalau ikut aturcara yang diberi, di siang hari aktiviti mereka semuanya tertumpu kepada aktiviti pendaftraan dan mendapatkan buku serta jadual kelas sahaja. Pada waktu petang ada aktiviti riadah dan hanya di sebelah malam sahaja ada aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) mengikut kumpulan yang akan dibahagi-bahagikan esok.


Teman sebilik mereka yang lagi dua orang itu masing-masing tidak ketahuan ke mana perginya. Mungkin mereka masih bersama-sama keluarga mereka agaknya. Ataupun mereka pergi ke bilik rakan-rakan mereka yang sama-sama ditempatkan di kolej ini. Malahan nama kedua-dua mereka pun Zara dan Alia langsung tidak tahu. Masih tidak sempat lagi mereka hendak berkenal-kenalan.


"Okey, aku tunggu. Kau tolong belikan aku Milo Ais sekali tau."


Sementara menanti Alia beratur membeli air, Zara duduk di salah satu meja yang tidak berpenghuni. Matanya memerhati wajah-wajah pelajar yang semakin ramai memenuhi kafeteria itu untuk membeli makanan.


Tiba-tiba pandangan matanya melekat pada wajah seorang lelaki yang sedang memilih lauk di salah satu kaunter kafeteria itu. Bola matanya terasa macam nak jatuh tergolek melihat lelaki yang tingginya sedang-sedang itu sahaja tetapi wajahnya sangat-sangat kacak pada pandangan mata gadisnya. Dengan wajah yang nampak ada iras anak mix dan mata yang agak sepet, hati Zara sudah mula berdag-dig-dug.


Rasa macam nak menjerit sahaja dan-dan tu juga pada Alia yang masih beratur membeli air itu...


"Alia!!! Zara rasa macam dah jatuh cintalah dengan... dengan..."


Alamak, siapa ya nama dia tu???


5 comments:

  1. urmmm...
    sapa itu...?

    ReplyDelete
  2. huhuhu...
    sape eh?

    iejay, nice entry...

    ReplyDelete
  3. yg pasti bukan crook pus pus semangat MenCUIT.

    ReplyDelete