My photo
Iejay is the nick name of a la-la girl who loves anything so called books, the net, eating, sleep, shopping and holidays...

Friday, July 10, 2009

Ku Telah Jatuh Cinta... Lagi – Bab 3






Dah sah.


Si lelaki anak mata coklat jernih itu memang satu kumpulan dengan Zara.


Yippee… Seronoknya Zara!


Tapi… sampai sekarang, Zara masih tak tahu apa nama si dia tu. Sedihnya rasa…


Dekat kolej matrikulasi ini bukannya macam di sekolah. Bila setiap kali bermula sesi baru, akan ada sesi pengenalan diri setiap pelajar dalam kelas. Di sini, mula sahaja kelas, cikgu masuk dan terus sahaja mengajar. Pandai-pandai sendirilah kalau nak berkenal-kenalan dengan rakan sekumpulan.


Hmm... Apa patut Zara buat ya? Zara ni pemalu orangnya. Jadi bagaimana dia nak tahu apa nama si lelaki anak mata coklat jernih itu? Entah mengapa lima tahun belajar di sebuah sekolah menengah perempuan telah membuatkan seorang Zara Queza ini menjadi gadis yang pemalu pada kaum Adam.


Sedangkan suatu ketika dahulu semasa di zaman kanak-kanaknya Zara tidak pernah kisah tentang isu gender bila berkawan. Malah dia amat suka sekali bila diajak berkungfu dengan meniru aksi filem Karate Kid mahupun berlumba basikal oleh kawan-kawan lelakinya.


Ketika ini, waktu tutorial Kimia. Cikgu tutorial kumpulan Zara masih tidak nampak lagi bayangnya. Tidak tahulah cikgu itu sememangnya terlambat atau tidak akan datang langsung.


Kalau ikutkan hati Zara, dia memang rasa malas nak datang semua kelas tutorial. Disebabkan ini ialah kolej baru dan cikgu yang mengajar masih tidak cukup, kelas tutorial di sini sudah jadi macam biskut chips more sahaja. Bila kita rajin nak datang, kelasnya dibatalkan. Tetapi bila kita rasa malas nak datang, elok pula ada cikgunya muncul nak mengajar.


Lagipun soalan-soalan yang telah diberikan oleh cikgu semasa kuliah untuk dibincangkan di dalam kelas tutorial, satu apa pun Zara tak sentuh. Nak tiru Alia seperti mana yang biasa di buatnya semasa di sekolah dahulu tak bolehlah pula sebab kuliah mereka diajar oleh cikgu yang berbeza.


Tetapi disebabkan inilah satu-satunya peluang yang dia ada untuk menatap si lelaki anak mata coklat jernih itu sepuas-puasnya, Zara terus jadi kuat semangat untuk membatalkan niat jahatnya hendak memonteng kelas tutorial. Agak-agaknya si lelaki anak mata coklat jernih itu jenis yang siapkan soalan tutorial dia ke tidak ya?


Masa terus berlalu. Zara terus duduk-duduk sahaja membuang masanya menunggu kedatangan cikgu tutorialnya; sambil sesekali Zara menjeling si lelaki anak mata coklat jernih itu daripada tempat duduknya. Dalam kepalanya dia asyik terfikir bilalah akan ada papan tanda dengan lampu bling-bling jatuh daripada langit memaparkan nama budak lelaki itu pada dia ya?


Dan... dalam pada dia berangan sambil main jeling-jeling pandang-pandang pada si lelaki anak mata coklat jernih itu, tiba-tiba dia teringat akan sesuatu.


Tadi dia ada ternampak Mek Za, salah seorang teman satu kumpulan yang berasal daripada Pasir Putih Kelantan itu bersembang-sembang dengan budak-budak lelaki kumpulan ini. Ha, jadi mesti Mek Za tu tahu nama si lelaki anak mata coklat jernih itu kan?


Lalu Zara terus menegur Mek Za yang duduk di belakang kerusinya; sedang ralit menjawab soalan tutorial. Dengan loghat Kelantan yang konon macam pro-sak, Zara memulakan misinya iaitu mari-kita-bertanya-pada-Mek-Za-untuk-mendapatkan-nama si lelaki anak mata coklat jernih itu.


"Eh, Mek Za… nok tanya mu betar. Mu tahu dok namo budok-budok jate kelah kita ni?"


"Tahu la sikik. Ado jugok yang tok kena. Gapo?"


Okey, nampaknya ada respons yang positif.


"Tu hok paling segok, muko hok celuk tu namo gapo hah?"


"Hok muko celuk tu? Kalau tak silak aku, nama dia Sayid… Sayid apo ya? Lupolah pulak. Tapi aku denga sek-sek dio pagil Shad... Chad... ke apo entah..."


Syed? Dalam senarai pelajar kelas Zara hanya ada seorang sahaja yang bernama Syed. Syed Arshad Maurice Bin Syed Ardafi!


Jadi... betullah tekaan Zara hari tu. Nama hebat tersebut ialah nama dambaan hati Zara; si lelaki anak mata coklat jernih itu!


Syed Arshad Maurice Bin Syed Ardafi.


Nama itu diseru berkali-kali oleh hati Zara.


Oh, rupanya orang panggil dia Chad...


Arshad… Chad


Arshad Maurice… Chad Maurice.


Hmm… sedap juga nama tu!


Senyuman tanda puas hati kerana nama si lelaki anak mata coklat jernih itu akhirnya sudah diketahui kini bergayut di bibir Zara.


Oh, Chad Maurice...


"Eh, gapo mu tanya? Mu nih... suko dio eh?"


Tengah sedap menyeru-nyeru nama timangan buat si kekasih hati, terdengar Mek Za bertanya soalan maut. Alamak, dah kantoi ke?


"Hah, dok lah! Sajo aku nok tahu."


Dengan muka buat-buat serius Zara pantas menjawab.


"Eh, Zara, ni aku nok tanyo betar. Mu ni asa mano sebena? Haghi tu mu kato asa KL. Ni panda pulok mu kecek klate."


"Oh, aku orang Malaysialah."


Dengan bahasa baku pula; penuh bersahaja dan senyuman yang lebar Zara menjawab soalan Mek Za itu. Mek Za pula memandang Zara dengan muka pelik.


Dalam hati Zara, seribu syukur diucapkan bila Mek Za tidak lagi bertanya lanjut kenapa Zara tiba-tiba sahaja hendak tahu nama si Chad Maurice itu.


Amboi, Zara... Dan-dan ni juga dia dah tak guna lagi gelaran si lelaki anak mata coklat jernih. Terus panggil si dia Chad Maurice sahaja.


"Kalo mu nak suruh kecek kelate, aku tak dok maksalah."


Zara senyum lagi.


"Kalau mung nak suroh aku cakap ganu pong bereh. Awok nak suroh saya cakap Pahang tu sikit-sikit boleh le juge. Cakap Johor tu pandailah sikit-sikit, tapi."


Muka Mek Za sudah semakin blur.


"Ha, ekau nak suruh ese cakap nogori pun tak do masalah nyo. Tapi yang paling teman pandei, mestilah cakap Perak. Sebab kampung opah teman tu letaknya dekat Lubok Katak. Tak ade jauhnye dengan kedei-kedei dekat pekan Tapah tu."


Senyuman Zara dah semakin lebar melihat muka terkebil-kebil Mek Za.


"Hmm... kalau nak suruh cheq cakap utara pun bulih saja. Pasal pak menakan dengan mak menakan cheq banyak dok sana nun. Cakap Sarawak tu kamek tahulah juga sikit-sikit. Kalau Sabah tu pun boleh saja bah."


"Huh, mu ni gilo lah!"


Mek Za terus bangun daripada duduknya dan keluar daripada kelas. Pergi ke tandas agaknya.


Zara pula tergelak sendirian melihat muka Mek Za yang nampak bengang dengan jawapan dia itu. Tangannya di letakkan di mulut supaya bunyi tawanya itu tidak didengari oleh rakan sekumpulan yang lain. Terutamanya Chad Maurice.


Namun saat dia mengangkat mukanya, memandang ke arah Chad Maurice; dia perasan lelaki itu juga sedang memandang pada dia. Mungkin lelaki itu terdengar suara Zara yang seronok tergelak sendirian agaknya.


Alamak, kontrol ayu Zara... kontrol ayu...


8 comments:

  1. hahaha

    zara ni many2 in one la ea..
    bgs2

    ReplyDelete
  2. huhuhu..
    pandai zara ni yea..
    nak takel ie..
    nak chad maurice gak..
    hihihi

    ReplyDelete
  3. Hahaha...

    Asyik tersenyum saja lihat telatah Zara ni..
    I lyke... :P

    ReplyDelete
  4. safayafa sufukafa sayidka

    ReplyDelete
  5. hahaha..
    gile byk dialek dye ley ckp...
    ekekeke...
    smbung2..

    ReplyDelete
  6. sonang je nak teka......

    ReplyDelete
  7. waa..besh nye..
    rase cm dibawak balik ke mtrx n9 tuh..
    ble da penah ade kt tmpt tu..
    leh byg cmne keadaan n suasana..
    so ble bace jd lbh real..
    really miz dat mtrx..huhu~
    silalah smbg ^_^

    -che na-

    ReplyDelete
  8. pandai si zara tu ckp semua dialek erk. sian mek jd blur ngan zara. x pasal zara dikatakan gile hahahaha

    ReplyDelete