My photo
Iejay is the nick name of a la-la girl who loves anything so called books, the net, eating, sleep, shopping and holidays...

Wednesday, February 10, 2010

Ku Telah Jatuh Cinta... Lagi – Bab 6


Lusa cuti pertengahan semester akan bermula. Cuti selama seminggu. Yippee!

Esok selepas jam 12 tengah hari semua pelajar sudah boleh mula pulang. Zara sudah pun merancang naik bas daripada pekan Kuala Pilah bersama-sama Alia untuk balik ke Kuala Lumpur nanti. Alia pula daripada Kuala Lumpur, ibu bapanya akan menanti di sana untuk dibawa balik ke Setiawan, Perak.

Kelmarin ujian pertengahan semester untuk subjek kimia telah diadakan. Walaupun keputusan belum keluar, Zara tahu dia pasti keputusan ujiannya itu adalah gagal. Mana tidaknya, daripada lima soalan pengiraan tentang ikatan kimia yang diberikan, Zara hanya mampu buat jalan kerja sehingga pengiraan bilangan mol sahaja.

Semalam pula ada ujian untuk subjek Teknologi Maklumat. Mereka dikehendaki membuat pengaturcaraan program C++ yang sangat mudah. Tetapi dalam kelas Zara tu, hanya dia seorang sahaja yang pengaturcaraannya tidak jadi. Huwaa… teruk sungguhkan Zara ni?

Itulah mak ayah hantar Zara ke kolej matrikulasi ini untuk belajar. Tetapi Zara datang ke sini, asyik nak berangan-angankan si Chad Maurice dia itu sahaja.

Tadi pula ada ujian subjek Bahasa Inggeris. Ujiannya mudah sahaja. Mereka dikehendaki mereka dialog dan melakonkan dalam kumpulan di hadapan kelas. Ha, bab yang ini Zara yakin dia dapat buat dengan cemerlang sekali. Ini kerana sebagai budak KL, Zara semestinya ditakdirkan agak pandai untuk Berbahasa Inggeris. Apatah lagi ahli kumpulannya yang kebanyakannya datang dari luar Kuala Lumpur dan kurang pandai Berbahasa Inggeris juga telah memberikan kerjasama yang baik pada dirinya. Apa yang Zara cadangkan untuk sesi dialog mereka sebentar tadi langsung tidak mereka bantah.

Hasilnya… memang excelente!

Tak percaya?

Berikut adalah testimoninya…

Ujian Bahasa Inggeris baru sahaja selesai. Pelajar kumpulan 17 semua sudah bertebaran untuk kembali ke bilik masing-masing atau mungkin ke kafe membeli makanan. Jadual mereka selepas ini hanyalah kelas sukan pada jam lima petang.

Zara ketika ini sedang berdiri di hadapan bangunan surau. Dia sedang menunggu Mek Za yang mahu pergi ke tandas terlebih dahulu. Tadi dia sudahpun berjanji untuk pergi makan sama-sama di kafe Blok C bersama-sama temannya itu.

Dalam cuaca yang anginnya sepoi-sepoi bahasa walaupun mentari sedang tegak berdiri dan para pelajar-pelajar lain sibuk ke sana ke mari dengan urusan masing-masing, Zara terus setia menanti Mek Za. Tiba-tiba…

Chad Maurice dikesan berada 15 meter daripada tempat dia berdiri ketika ini. Lelaki itu sedang berjalan ke arah asrama bersama-sama salah seorang budak lelaki daripada kumpulan Zara juga. Kalau tidak silaplah, namanya Azam… Eh, Azam ke Farid nama budak yang seorang tu ya? Ah, lantaklah apa pun namanya. Lelaki yang bernama Azam-atau-mungkin-Farid itu tidak penting buat Zara. Tak handsome mana pun…

Apa yang penting?

Chad Maurice!!!

Alamak apa Zara nak buat ya? Langkah Chad Maurice semakin mendekat dengan tempat Zara sedang berdiri ketika ini. Apa nak buat ni? Apa pilihan yang dia ada sekarang ini?

A. Berdiri tegak sahaja supaya Chad Maurice mungkin mengangak dia baru sahaja

melalui Statue of Liberty.

B. Tersenyum malu-malu ala gadis melayu terakhir supaya Chad Maurice akan teringat-

ingat dalam mimpinya.

C. Ambil kesempatan ini untuk bertegur sapa dengan Chad Maurice. Oh, mungkin dia

boleh tanya waktu sekarang ni pukul berapa atau bertanya dia balik bercuti di mana

supaya Zara boleh suruh ayah dia hantar rombongan meminang ke sana.

D. Bertukar warna macam sesumpah bila terasa diancam dan menyorok.

E. Lariii…

Err… nak pilih apa ya? Zara rasa macam nak pilih jawapan 'E' tapi…

Macam mana dengan janji nak tunggu Mek Za?

Dan…

Mana sempat sebab Chad Maurice sudah pun satu meter sahaja jaraknya dengan Zara. Malahan langkah kaki pujaan hatinya dan temannya sudah pun terhenti di hadapan Zara.

"Hai! Zara kan?"

Aaaaaa… nak pengsan… Mak, tolong Zara mak!

Zara rasa nak pitam… Chad Maurice tegur Zara!!!

Ya Allah, suara dia sedapnya… macho sahaja kedengarannya.

Aaaaaa…. Apa nak buat ni? Apa nak kena kata? Macam mana nak jawab ni?

"Err… Hai… Ya… saya Zara…"

Akhirnya dengan suara yang cukup perlahan dan paling lembut nadanya, Zara menjawab teguran si Chad Maurice. Dia tidak pasti sama ada Chad Maurice dengar atau tidak patah-patah katanya itu. Mukanya pula sudah terasa kembung dan merah sungguh bak orang kena alergi kerana menahan rasa malu yang beraja di hati bila ditegur jejaka idaman.

"Hai, Za…"

Sekali lagi kedengaran pula suara Chad Maurice menegur Mek Za yang sudah pun menyertai Zara semula di hadapan surau itu.

"Well, you all punya group presentation tadi memang bagus. Congratulations ya."

Chad Maurice berkata-kata lagi. Dan dia memuji kumpulan Zara!!!

Oh, kali ni Zara memang betul-betul nak pengsan. Tubuhnya sudah terasa seperti berada di awan-awangan bilamana mendengar suara si pria pujaan memuji persembahan kumpulannya tadi.

"Err… tak adalah… kami punya tadi biasa-biasa sahaja."

Masih dengan suara yang lemah lembut penuh gemalai seperti gadis pingitan, Zara cuba menafikan kata-kata Chad Maurice.

Sememangnya bila sahaja orang yang diminati memuji diri ini, kita kenalah merendah diri serendah yang boleh. Kita kenalah menunjukkan sifat-sifat mahmudah kepada bakal suami kita.

Tetapi kalau yang memuji itu adalah kawan-kawan biasa, silalah riak dengan kehebatan kita itu ya.

"No. Presentation you all memang bagus. Kami kan duduk di belakang kerusi Sir tadi. Memang kami nampak Sir bagi markah tinggi pada you all."

Chad Maurice bersuara lagi. Menegaskan kenyataannya tadi. Oh, kalaulah Zara ada bawa perakam suara, bukan ke bagus? Bolehlah nanti Zara mengulang-ngulang kata-kata pujian daripada buah hatinya ini bila terasa rindu kan?

"Betul… betul… betul."

Buat pertama kalinya semenjak tadi, kawan si Chad Maurice yang bernama Azam-atau-mungkin-Farid itu bersuara; turut mengiakan kata-kata sahabatnya.

"Aloh, semuo tu Zara ni ha yang buat. Kami ni dok pandai sangak."

Zara Queza terus berdiam. Hatinya kini sudah kembang dan kembung oleh pujian daripada rakan-rakan sekelasnya. Lebih-lebih tentulah kerana si Chad Maurtice tu.

"Hmm… okeylah. Got to go now. Happy Holidays to both of you!"

Chad Maurice dan kawannya sudah meminta diri.

Zara masih lagi senyap semenjak tadi.

"Zara, meh lah kita gi kafe."

Zara tetap membisu. Tubuhnya masih tegak seperti tadi. Langsung tidak bergerak-gerak. Di matanya masih terbayang setiap langkah Chad Maurice berlalu daripada tempatnya itu.

"Zara!!!"

Suara Mek Za sudah tinggi sedikit nadanya menegur Zara yang dilihatnya masih kaku sejak tadi. Bahu Zara turut digoyangkannya sedikit.

"Hah, apa? Apa… kenapa? Ada gempa bumi ke?"

Zara yang sejak tadi seperti berada di langit ketujuh tiba-tiba tersedar apabila terasa bahunya bergegar. Aksinya itu kelihatan seperti menggelabah sedikit.

"Mung ni bakpo? Kena sampuk ke gapo?"

Mek Za memandang Zara dengan pandangan pelik.

Zara yang baru tersedar daripada alam khayalannya hanya mengeleng dan tersengih pada Mek Za.

"Tak ada apa-apalah. Aku okey. Err… kita nak gi makan kan tadi? Jomlah."

Dengan penuh selamba Zara terus melangkah pergi daripada situ untuk menuju ke kafe Blok C.

Mek Za yang terkebelakang sedikit langkahnya, memerhatikan Zara dengan dahi berkerut-kerut. Tidak faham dengan ulah rakan sekelasnya itu.

Di dalam hati Zara, dia mahu pergi ke kafe cepat-cepat, habis makan juga cepat-cepat sebab dia sudah tidak sabar mahu balik ke bilik dan mengkhabarkan pada Alia tentang peristiwa Chad Maurice menegur dirinya tadi.

Oh, mungkin juga dia patut berkongsi ceritanya itu dengan sahabatnya si Shasha di blok C3.

Ha, budak-budak bilik depan biliknya yang selalu sekepala dengan dia serta Alia tu mungkin juga nak dengar dia berkongsi cerita tentang Chad Maurice kan?

Dan bibir Zara terus tersenyum lebar sepanjang hari itu. Sekalipun ketika bermain bola jaring semasa di kelas sukan, salah seorang rakan sekelasnya terbaling bola kena pada kepalanya….