My photo
Iejay is the nick name of a la-la girl who loves anything so called books, the net, eating, sleep, shopping and holidays...

Tuesday, May 4, 2010

Nisa Nak Kahwin :- Bab 1 -:

Pengumuman2: Iejay ada buat prolog baru menggantikan prolog sebelum ni. Prolog sebelum ini pula dah ubah sana-sini sikit dan jadikan bab ini as bab 1. TQ and sorry kalau bacaan anda terganggu. Toodles.

Suasana di dalam dan di luar rumah bernombor 10 Kampung Serdang ketika ini kelihatan begitu sibuk sekali. Yang dewasa mampir dengan berbaju tradisonal melayu pelbagai warna dan corak. Para kanak-kanak pula bebas berlari ke sana sini sambil riang bermain. Lagu Selamat Pengantin Baru daripada pagi lagi telah melatari suasana.

Di luar rumah, sang penanggah sedang sibuk ke hulu ke hilir melayan para tetamu yang mula membanjiri majlis perkahwinan anak perempuan yang paling bongsu tuan rumah. Di bahagian dapur rumah pula, para ibu sibuk berganding bahu menyiapkan hidangan pengantin untuk makan beradab.

Di salah satu bilik yang dijadikan bilik untuk pengantin, Nisa sudahpun bersiap-sedia. Dengan baju kebaya warna putih gading dan tudung serona serta wajah yang siap dirias cantik; Nisa sudah tidak sabar-sabar hendak menunggu pengantin lelaki tiba.

Oops... jangan salah sangka. Bukan Nisa yang nak kahwin la... Nisa cuma jadi pengapit sahaja pada sahabatnya, Shazarina.

Si pengantin perempuannya tu masih lagi belum siap. Sejak sejam yang lalu mak andamnya belum sudah-sudah lagi menyolek wajah temannya. Namun begitu wajah Syazarina yang jarang disentuh oleh alat solek itu nampak sungguh cantik sekali bila di andam oleh Kak Eyta, juruandam yang dikatakan paling popular di daerah Setiawan ni.

Nisa tumpang seronok melihat sinar kebahagian yang cukup terserlah pada wajah teman baiknya. Temannya yang telah dikenalinya semenjak dia menjejakkan kaki ke universiti dahulu. Temannya pagi tadi telah pun selamat bergelar isteri kepada Encik Adam, si pengarang jantung hatinya semenjak zaman sekolahnya dahulu.

Shazarina sudah pun mengecap kebahagiaannya. Giliran Nisa pula untuk menngecap kebahagiaan yang sama entah bilalah akan tiba...

Kononlah dulu nak kahwin umur 23. Tak sabar-sabar sungguh nak tunggu umur 25 seperti mana kawan-kawan sekolahnya. Hah, la ni dah terbabas umur 25 pun, Nisa tetap tak kahwin-kahwin juga.

Nak kata tak ada kekasih, dah nak sedekad dia berkasih dengan sang arjunanya nan satu itu.

Nak kata tak cukup seru, masuk hari ni dah empat kali Nisa jadi pengapit kepada kawan-kawannya. Kiranya dah terlebih-lebih aura pun dia kutip untuk menjemput seru.

Tapi sampai sekarang si kekasih hati tak juga ada ura-ura hendak meminang-minang dirinya. Ha, kalau susah-susah sangat biar Nisalah aje yang pergi pinang dia. Rasulullah s.a.w tu dulu pun Saiditina Siti Khadijah yang meminang dia kan?

Tanpa sedar satu keluhan kecil terbit daripada bibirnya dengan idea tak masuk akal yang tiba-tiba muncul itu.

"Kenapa Nisa?"

Hanya dengan sedikit gerakan di bibir dan muka yang tetap tegak posisinya kerana wajahnya masih sedang dirias oleh Kak Eyta, Syazarina menegur temannya yang setia menemaninya sejak dua hari lepas sehinggalah ke majlis perkahwinannya hari ini.

"Tak ada apa-apalah."

Nisa tersenyum kecil, cuba meredakan perasaan temannya itu daripada merasa risau akan keluhannya tadi.

"Cup Kak Eyta! Sha nak kena selesaikan masalah Negara kawan Sha ni dulu. Lepas ni kita sambung balik."

Tidak berpuas hati dengan penjelasan ringkas si teman, Shazarina menyuruh mak andamnya berhenti merias wajahnya sebentar. Lalu pantas dia bangun dan merpati Nisa yang sejak tadi duduk di bucu katil pengantinnya.

"Hey, budak-budak ni, tengah teman sibuk nak mengandam suka hati dia aje nak suruh berhenti-berhenti sekejap pula. Karang pengantin lelakinya dating, kome tak siap-siap lagi."

Kak Eyta sudah mula membebel dengan tingkah Shazarina. Namun si pengantin itu hanya buat tidak tahu sahaja.

"Kenapa ni Nisa? Kau ada masalah ke? Cakaplah apa masalah kau ni."

"Ya ALLAH, Sha aku tak ada apa-apalah. Hei, pergilah sambung balik habiskan sesi mengandam kau tu. Kak Eyta marah dah tu."

"Tak mahu. Aku tak percaya yang kau okey. Kau masih ingat pasal apa yang kita bualkan semalam ke?"

Semalam, di malam terakhir Shazarina bergelar seorang gadis; dua orang sahabat telah menghabiskan masa mereka untuk berbual-bual berdua hampir sampai ke dinihari. Sama seperti yang biasa dilakukan ketika mereka masih di universiti dahulu. Mereka bercerita tentang segala-galanya seolah-olah tiada lagi hari esok. Mereka bercerita tentang kenangan-kenangan yang pernah mereka tempuhi bersama, tentang masa hadapan yang masih kabur dan juga harapan masing-masing.

Dalam pada mereka berbual itu, tanpa sedar Nisa turut meluahkan perasaan risaunya kerana dirinya ini masih lagi belum berkahwin di kala usianya sudah meniti lewat 20-an. Walaupun tahun ni dah masuk 7 tahun dia bercinta dengan Encik Arkitek Pencen tu, tak juga nampak sebarang potensi pakcik tu hendak hendak melamar dirinya. Tapi Shazarina kata, masanya akan tiba juga suatu hari nanti.

"Takkkk... Aku okeylah."

"Betul ni?"

"Betul!!! Cuma tiba-tiba je aku terfikir, kalaulah Abang Arep tak juga melamar aku bila aku balik KL ni, patut tak aku aje yang lamar dia? Lembap sangatlah mamat tu."

Nisa nak meminang Abang Arep? Oh, sungguh desperate anak pakcik Nazrul ini ya sampai sanggup mencemar duli nak meminang boyfriend sendiri.

"Hmm... bagus juga kalau macam tu. Aku akan sokong je apa-apa idea kau! Dahlah aku tak nak tengok kawan baik aku bersedih-sedih pada hari aku nak bergembira ni. Selesai majlis aku nanti boleh kita rancang majlis kau pula ya? Ee... seronoknya rasa! Nisa pun nak kahwin!"

Nisa hanya tersenyum nipis mendengar kata-kata Shazarina yang nampak sungguh teruja dengan rancangan gilanya itu. Sedangkan Nisa sendiri terasa macam dia nak daftarkan dirinya sendiri di wad psikatri je.

Hmm... macam mana caranya ya nak melamar sang kekasih jadi suami kita? Agak-agak kalau kita buat carian di Google, ada tak artikel tentang 'How to Propose to Your Boyfriend'?

Huh, tapi hendak ke Encik Arkitek Pencen tu kalau Nisa yang pinang dia? Yalah, pakcik seorang tu kan keturunan stone-cold!

Tapi Nisa nak kahwin!!!

p/s: BTW website 'How to Propose to Your Boyfriend' memang wujud la... hahaha...

Check this website: http://www.mahalo.com/how-to-propose-to-your-boyfriend

: http://www.wikihow.com/Propose-to-Your-Boyfriend


Saturday, May 1, 2010

Nisa Nak Kahwin :- De Prolog -:


DEAR ALL... IEJAY DAH TOTALLY TUKAR PROLOG BARU YA!

"Baiklah kelas, hari ini kita akan belajar bab munakahat ataupun bahasa biasanya kita panggil perkahwinan."


Ustazah Aisyah tersenyum-senyum mengumumkan tajuk pengajaran Pendidikan Islamnya untuk gabungan kelas Tingkatan 5 Sains 1 dan 5 Sains 2 hari ini. Dia mermerhatikan wajah-wajah 25 orang pelajarnya sekali imbas.


Ada yang nampak gembira. Tersengih-sengih mendengar bab yang akan mereka pelajari hari ini. Ada yang nampak tersipu-sipu malu. Tidak kurang juga ada yang sibuk bersok-sek dengan rakan bersebelahan mereka. Tidak sabar agaknya hendak berkongsi pengetahuan mereka tentang bab nan satu ini.


Ini baru gelegat pelajar perempuan sahaja kerana sekolah ini adalah sekolah menengah khas untuk perempuan. Isy, entah macam manalah pula agaknya kalau ada pelajar lelaki juga di dalam kelas ini ya? Mahunya riuh mereka bersorak mendengar tajuk yang akan diajar hari ini.


Hmm... Budak-budak remaja ni kalau ustazah bercerita bab kahwin memang mereka mahu sahaja. Mata masing-masing pasti akan segar-bugar sepanjang kelas. Tetapi kalau ustazah bercerita bab lain seperti sirah nabi, baru separuh masa pertama sahaja seorang demi seorang mula terkatup mata kerana mengantuk.


"Okey, mula-mula kita akan lihat pada rukun nikah. Rukun nikah dibahagikan kepada lima. Pertama akadnya iaitu lafaz ijab dan qabul. Kedua wali. Ketiga pula ialah dua orang saksi. Untuk yang keempat dan kelima siapa boleh bagi tahu saya apa dia?"


Sambil bercakap, Ustazah Aisyah menulis satu-persatu rukun yang disebutnya di atas papan hijau. Namun pada angka empat dan lima tulisannya terhenti. Dia memandang satu persatu pelajarnya. Daripada yang duduk di baris hadapan hinggalah di baris belakang sekali.


Namun kelasnya hanya sunyi-sepi. Masing-masing menikus memandang meja. Mengeleng-ngeleng kepala Ustazah Aisyah melihat gelagat para pelajarnya. Bila sebut bab kahwin semua nampak teruja. Tapi bila tanya apa rukun semua tak tahu nak jawab. Agaknya sebab itulah banyak berlakunya keruntuhan rumahtangga di kalangan pasangan muda-mudi sekarang ini. Kebanyakannya hanya tahu mahu kahwin. Pengisian dalam perkahwinan semua tak mahu tahu.


"Yang keempat dan kelima mestilah pengantin lelaki dan pengantin perempuan. Kalau tak ada pengantin, macam mana nak berkahwin. Apalah kamu ni, itu pun tak tahu ke? Itulah dalam kepala hanya tahu nak kahwin sahaja!"


Ustazah Aisyah berkata dengan nada sedikit geram. Kelas yang tadi hanya senyap-sunyi kini dimeriahi dengan gelak-tawa kecil para pelajar yang sudah terkena dengan si ustazah.


"Kita selingan sekejap. Saya nak tanya ni, kamu rasa agak-agak umur berapa kamu sesuai untuk berkahwin."


"DUA PULUH LIMAAA!!!"


Seperti sudah sepakat sahaja, satu kelas menyebut angka umur yang merasakan sudah cukup matang untuk berkahwin.


"Hmm... betullah tu. Saya juga setuju. Umur 25 tu memang sedang elok untuk kamu berkahwin."


Ustzah Aisyah memberi komen akan jawapan para pelajarnya.


Tiba-tiba ada salah seorang daripada pelajarnya mengangkat tangan.


"Ya, ada apa NIsa?"


"Err... Ustazah kalau nak kahwin masa umur 23 tahun tak boleh ke? 25 tu macam dah tua je? Lagipun lambat sangatlah nak tunggu umur cecah 25."


Dengan wajah yang sedikit merah kerana merasa malu, gadis berusia 17 tahun itu bangun dan bertanya. Rakan-rakan sekelasnya ada yang sudah tergelak kecil dengan soalannya itu.


"Boleh sahaja Nisa. Tak kisahlah kamu nak kahwin umur berapa. Asalkan kamu mematuhi syarat-syarat sah dan rukun nikah. Sekarang ni kamu tak payah nak peningkan kepala umur berapa kamu nak berkahwin. Habiskan SPM dahulu dan kalau ada rezeki sambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Dalam Al-Quran ALLAH ada berfirman, seperti dalam Surah Yasin ayat 36,


'Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka maupun dari apa yang tidak mereka ketahui.'


"Jodoh itu di tangan ALLAH. Insya-ALLAH bila tiba masanya jodoh kamu semua akan tiba juga. Baiklah sekarang ni kita sambung pula syarat-syarat sah bagi setiap rukun nikah tadi. Kita mulakan dengan syarat-syarat sah wali dahulu..."


Ustazah Aisyah kembali menyambung pengajarannya. Nisa pula kembali duduk bersama senyuman di bibir. Dia berpuas hati dengan jawapan Ustazah Aisyah tadi.


Dalam hatinya sudah ditekadkan satu azam.


Nisa nak kahwin pada usia 23 tahun!


Lagipun nak kahwin tu kan seronok?