My photo
Iejay is the nick name of a la-la girl who loves anything so called books, the net, eating, sleep, shopping and holidays...

Friday, June 25, 2010

HAJI USIN! OH! AJI HUSSEIN!




Hafiza memandang emaknya yang hanya tersenyum-senyum sahaja semenjak dia balik daripada kerja petang tadi. Bila ditanya apa yang membuatkan emaknya itu nampak sungguh gembira, emaknya hanya berkata tunggu nanti selepas makan malam emak dan ayah akan beritahu pada Hafiza kisahnya.


Lalu elok sahaja selepas makan malam dan mengemas dapur, Hafiza terus bertanya pada emak dan ayahnya apa yang ingin disampaikan oleh mereka itu.


"Fiza tak ada sesiapa lagi kan?"


Itu mukadimah daripada emak. Soalan yang sama kedengaran dan entah buat kali keberapa sejak beberapa hari yang lalu.


"Mak ni berapa kali nak tanya Fiza benda yang sama? Kan Fiza dah cakap yang Fiza tak ada masa nak fikir pasal benda-benda remeh macam ni. Kerja dekat ofis tu pun tak habis-habis. Kalau ada laki, manalah Fiza ada masa nak layan nanti. Mak mesti nak Fiza jadi isteri yang baik bila dah kahwin kan? Mak mesti tak nak anak mak ni berdosa sebab mengabaikan tanggungjawabnya pada suami kan?"


Hajah Hardiah hanya menjuih bibir mendengar hujah anaknya yang sungguh pandai membalas setiap kali dia bertanya bilalah anaknya ini hendak berkahwin. Mentang-mentanglah dia tu kerjanya sebagai lawyer. Dengan emaknya ini pun dia nak berloyar buruk. Silap-silap haribulan semua akta akan dikeluarkannya bila si emak bercakap tentang hal kahwin.


Umur Hafiza tahun ini sudah 29 tahun. Tetapi bayangan yang anaknya ini ada cita-cita hendak membina masjid langsung tidak nampak. Asyik sibuk dengan kerjanya sahaja. Macamlah kalau dia tak ada dekat pejabat tu, habis pejabat guaman dia tu akan terus tutup!


Geramnya rasa hati dengan anak nan seorang ini!


Hafizalah satu-satu permata hatimya. Dialah intan. Dialah payung. Dialah berlian Habib Jewels, Poh Kong, Cartier, Tiffany dan segala kedai yang seangkatan dengannya pada Hajah Hardiah. Kandungannya yang lain-lain sebelum dan selepas kelahiran Hafiza semuanya tidak sempat menejenguk dunia. Jadi dengan anak nan seorang inilah dia memberi dan mengharapkan segala yang terbaik.


"Hmm... petang tadi ada orang datang merisik sekaligus meminang kamu. Mak dengan ayah dah terima pun pinangan orang tu. Kali ini tak ada kompromi dah. Nak tak nak kamu kena ikut kata emak dan ayah kali ini. Asyik dengan kerja aje, entah bilanya lah kami ni dapat nak tengok kamu ni berkahwin."


Rahang Hafiza dah rasa jatuh mencecah lantai mendengar kata-kata, eh silap bukan lagi kata tapi arahan Hajah Hardiah sebentar tadi.


"Mak! Ayah! Mana boleh macam ni? Fiza tak kenal entah siapa yang masuk meminang tu, emak pandai-pandai aje main terima."


Hafiza memandang emak dan ayahnya dengan pandangan memprotes. Ini hidupnya. Hal kahwin ini masa hadapannya. Takkanlah dia nak main terima sahaja sesiapa sahaja untuk jadi suaminya. Dia bukannya terdesak sangat hendak berkahwin. Dia baru sahaja berusia 29 tahun. Alah 29 tahun tu kira muda lagilah kan?


Lagipun hari tu dia ada terbaca berita yang nenek umur 60 tahun lebih pun masih boleh lagi dapat anak. Kembar tiga lagi! Jadi sekalipun dia berkahwin pada kala dia berumur 50 tahun nanti pasti tak ada hal lah rasanya. Teknologi kini bukankah sudah semakin maju.


"Mak pasti dan mak kenal siapa yang mak nak jadikan menantu mak tu. Takkanlah mak nak main sauk aje sesiapa jadi menantu mak. Mak dengan ayah pasti Insya-ALLAH dia dapat menjaga kamu dengan baik."


"Mak, Fiza dah lebih 18 tahun. Hal nikah kahwin ni terletak di tangan Fiza sama ada hendak terima atau tidak. Mak tak boleh nak paksa Fiza. Mengikut Perkara 12 (4) Perlembagaan Malaysia, setiap anak-anak yang berumur 18 tahun ke atas berhak untuk..."


"Sudah! Sudah! Jangan nak keluarkan akta kamu tu dekat mak. Muak mak dengan akta-akta kamu tu. Akta ke... perlembagaan ke... mak tak peduli dah. Mak nak kamu kahwin juga kali ini. Pihak lelaki minta langsungkan majlisnya lagi tiga bulan."


Tiga bulan?


Tak lama aje lagi tu...


Huhuhu... Apasal tak lagi tiga tahun?


Hafiza dah rasa nak pengsan dengar kata emaknya itu.


"Hafiza... ayah ni wali mujbir kamu. Kalu ikut hukum syarak, ayah berhak menikahkan kamu sekalipun tanpa izin kamu. Antara perlembagaan yang dicipta oleh manusia dan hukum yang ditetapkan ALLAH, kamu rasa undang-undang mana yang sepatutnya mengatasi undang-undang satu lagi?"


Hafiza sudah terdiam tidak berkutik. Bila ayahnya Haji Hafiz, si Hakim Mahkamah Syariah pencen yang jarang mencelah kata-katanya itu mula bersuara, apa lagi yang boleh Hafiza perkatakan. The court have rules out the decision. Kesnya ini bukannya boleh dibawa ke Mahkamah Tinggi mahupun Mahkamah Rayuan atau menghadap YAM Dipertuan Agong untuk dibahaskan lagipun.


"Si... sia... Siapa lelaki yang mak dah terima pinangannya tu?"


Hanya itu yang mampu Hafiza perkatakan saat ini. Mahu tak mahu dia thau dia terpaksa pasrah menerima keputusan mak ayahnya kali ini.


"Namanya Aji Hussein..."


Oh! Mama-mia... Haji Usin?


Kali ini bukan sahaja rahang Hafiza sahaja sudah terjatuh, tetapi dengan bola matanya sekali sudah terasa terjojol lalu bergolek-golek di lantai mendengarkan nama itu daripada mulut emaknya.


**************

Haji Usin?


Mak dengan ayah dah tak ada calon lain ke untuk satu-satu anaknya ini?

Hafiza gelisah sendirian di atas katilnya. Sebaik sahaja mendengar nama bakal suaminya tadi, dia terus naik ke atas, masuk bilik dan bergolek di katilnya. Dia mahu tidur dan bangun esok pagi dengan harapan apayang berlaku malam ini semuanya hanyalah sekadar sepotong mimpi ngeri.

Namun begitu, selepas tiga jam dia berbaring, matanya tetap juga tidak mahu terpejam. Bergolek ke kanan rasa tak kena, bergolek ke kiri rasa lagilah serba tak kena. Mana nak lenanya bila kepalanya tidak sudah memikirkan tentang bakal suami pilihan emak dan ayahnya itu.

Haji Usin tu memanglah handsome orangnya. Tapi itu dulu! Masa dia muda belia remaja. Orang kata muka dia tu ada iras-iras Nordin Ahmad.

Setahu Hafiza umur Haji Usin tu dah baya ayahnya pun. Isy, lagi tua daripada ayah rasanya sebab anak-anak dia semua lagi besar daripada Hafiza.

Haji Usin tu baru dua bulan menduda setelah isterinya Hajah Maryam meninggal dunia.


Ee... kubur bini merah lagi, ada hati dah nak kahwin!

Nak kahwin dengan anak dara macam aku pula tu!

Buat nama sahaja imam masjid. Tapi gatal tak menahan sungguh!

'Aaaaaaaaaaaa... Tak mahu kahwin dengan Haji Usin!!!!!'

Bersama bantal yang sudah ditekap ke mukanya, Hafiza menjerit sendirian melepaskan rasa geram di hati.


Kenapa Haji Usin yang mesti jadi calon pilihan emak dan ayah?

Kenapa? Why? Por qué?

Kenapa tidak abang muka Christiano Ronaldo versi Malayu yang baik hati tolong dia dua minggu lepas tu? Kalaulah abang-muka-Christiano-Ronaldo-versi-Malayu-yang baik-hati tolong dia haritu, tak payah tunggu tiga bulan. Esok juga Hafiza ajak dia kahwin tau!


***********



Dua minggu lepas, elok sahaja kereta Hafiza melepasi dua jalan daripada rumahnya, tiba-tiba keretanya buat hal. Enjin keretanya tiba-tiba mati. Puas cuba dihidupkan semula tidak mahu juga. Sedangkan pagi tadi semasa dia menghidupkan enjin, elok sahaja kereta Proton Perdananya ini. Ini baru beberapa meter perjalanan, dia buat hal lah pula.

Nak jalan kaki balik rumah panggil ayah suruh tengok-tengokkkan keretanya ini, ayahnya itu hari ini pagi-pagi lagi sebelum Hafiza pergi kerja lagi sudah keluar. Katanya dia ada urusan dekat pejabat tanah.

Lalu dengan kepakaran tahap zero bab penjagaan kereta, Hafiza membuka bonnet keretanya dan cuba melihat apa yang tidak kena. Setelah dua tiga minit dia meilhat-lihat bahagian enjin keretanya itu, akhirnya dia menggaru-garu kepalanya sendiri.

Huh, apalah yang dia tahu tentang kereta. Selama ini yang dia hanyalah tahu memandu sahaja.

Isy, apalah yang dia hendak buat ni?

Nak panggil mekanik, dia tak pernah tahu pun nombor mekanik kawasan sini. Selalunya bila cukup tempoh, dia hanya bagi ayah duit dan ayah yang akan tolong hantar keretanya ini ke bengkel untuk diservis.

Nak telefon AAM, tak ke kelakar bunyinya dia panggil trak penunda syarikat insurans keretanya untuk tunda kereta dekat-dekat kawasan rumahnya sahaja?

Bila dipandang sekeliling, tak ada nampak pula mana-mana jiran setaman yang berjantina lelaki untuk diminta pertolongan. Agaknya semua orang sudah pergi pejabat kot.

Yalah sekarang ini waktu sudah pun menunjukkan angka sepuluh. Hari ini Hafiza memang sengaja lambat sedikit ke pejabat kerana kepenatan setelah hampir dua hari dia bertapa di pejabat menyiapkan klausa-klausa kontrak bersama-sama berberapa rakan peguam yang lain.

Saat ini ada tak ada pun rumah depan tu dia nampaklah si Selamat @ Sally keluar sekejap tadi membuang sampah. Isy, mamat separuh masak tu tak mungkin tahu bab-bab kereta ni kalau hendak diminta pertolongan pun. Kalau tanya bab masak-memasak, andam-mengandam itu mungkin dia terlebih pakar.

Akhirnya setelah penat berdiri, Hafiza beralih duduk mencangkung pula di tepi keretanya. Saat ini sama ada keayuannya di hadapan bakal-bakal mak mentua akan terjejas atau tidak dengan duduk mencangkung di kala dia berbaju kurung begini, dia sudah tidak peduli. Panas matahari pagi sudah mula merimaskan dirinya.

Dalam kepalanya ketika ini dia sudah berfikir-fikir untuk meninggalkan sahaja keretanya di sini, jalan sedikit ke jelan besar depan sana dan tahan sahaja teksi untuk ke pejabat. Kereta ini, kalau ayahnya balik nanti boleh suruh dia tengok-tengokkan.

Baru sahaja dia berura-ura mahu bangun dan melangkah pergi mengikut saranan buah fikirannya tadi, tiba-tiba ada satu suara yang agak macho menegur diirnya.

"Assalamualaikum, kenapa ni saudari?"

Dengan pandangan yang di dongakkan Hafiza memandang empunya suara yang menegur dirinya. Hatinya berdetak dag-dig-dug macam lagu dangdut Haiza yang suatu masa dahulu cukup popular di saat matanya ini menatap insan berwajah Christiano Ronaldo versi Melayu sedang berdiri di hadapannya.


Lalu secara automatiknya juga dia pantas berdiri tegak. Mengubah posisinya supaya kelihatan seperti gadis melayu terakhir semula.


Mamat-muka-Christiano-Ronaldo-versi-Malayu itu pula menghadiahkan senyuman yang berkuasa 8 juta giga watt tahap membunuh pada Hafiza.

"Err... aaa... anu... aa... ker – kereta saya ni rosak."


Ah, sudah! Bila masa pula dia dapat penyakit gagap pula ni?


Mak, mamat-muka-Christiano-Ronaldo-versi-Malayu ni punya pasal lah. Yang pergi bagi senyuman 8 juta giga watt tahap membunuh apa pasal! Tak pasal aje Hafiza ni jadi gagap tau.


"Oh, kereta rosak. Rosak yang macam mana tu? Kalau rosak yang biasa-biasa tu manalah tahu abang boleh cuba bantu kan?"


Ya ALLAH, daripada mana datangnya mamat-muka-Christiano-Ronaldo-versi-Malayu dengan senyuman 8 juta giga watt tahap membunuh ini?


Adakah dia malaikat yang turun daripada langit?


Inikah hikmahnya pagi ini dia tiba-tiba terajin bersolat Dhuha?


"Saudari.... oh... saudari?"


Tangan mamat-muka-Christiano-Ronaldo-versi-Malayu dengan senyuman 8 juta giga watt tahap membunuh itu tergawang-gawang di hadapan muka Hafiza, menngejutkan empunya diri supaya berpijak di bumi nyata daripada terus terawang di langit ketujuh.


"Hah? Apa dia?"

Mamat-muka-Christiano-Ronaldo-versi-Malayu itu tergelak dengan senyuman 8 juta giga watt tahap membunuhnya lagi melihat Hafiza yang nampak terpinga-pinga.


"Abang tanya apa yang rosaknya kereta ni?"


"Ohh... err... entahlah tiba-tiba aje enjin dia mati. Cuba hidupkan semula pun dia tak mahu juga."


Kali ini mamat-muka-Christiano-Ronaldo-versi-Malayu itu memandang dengan muka serius kereta Perdana Hafiza apabila mendengar penjelasan si gadis. Walaupun tanpa senyuman 8 juta giga watt tahap membunuhnya itu, mamat-muka-Christiano-Ronaldo-versi-Malayu ini tetap kelihatan kacak pada mata Hafiza.


Akhirnya setelah seketika digodek-godek kereta Perdana Hafiza dan akhirnya melakukan jump start dengan kereta Honda Jazz miliknya, mamat-muka-Christiano-Ronaldo-versi-Malayu dengan senyuman 8 juta giga watt tahap membunuh itu berjaya membuatkan enjin kereta Hafiza hidup semula.


"Ha, lain kali jangan lupa hendak panaskan enjin pagi-pagi sebelum pergi ofis ya. Kereta ni macam manusia juga. Kena bersarapan dahulu sebelum memulakan apa-apa aktiviti."


Mamat-muka-Christiano-Ronaldo-versi-Malayu dengan senyuman 8 juta giga watt tahap membunuh itu memberi nasihatnya sebelum meminta diri hendak berlalu, Hafiza hanya tersenyum simpul menahan malu kerana lelaki ini macam tahu-tahu sahaja dia ini jenis yang start enjin kereta dan terus sahaja jalan.


"Err... berapa ya saya nak bayar?"


"Tak apa. Abang bukannya mekanik sampai nak ambil upah. Lagipun apa sangat yang abang buat tadi. Abang tolong adik ikhlas."


Adik?


Mamat-muka-Christiano-Ronaldo-versi-Malayu dengan senyuman 8 juta giga watt tahap membunuh ini menyudahkan pertemuan bersejarah mereka ini dengan memanggilnya adik sahaja?


Huhuhu... mak... Fiza rasa nak menangis....


Baru sahaja Hafiza nak masukkan mamat-muka-Christiano-Ronaldo-versi-Malayu dengan senyuman 8 juta giga watt tahap membunuh ini dalam senarai calon-calon berpotensi jadi menantu emak dan ayah.


Hmm... agaknya dia ni dah kahwin kot. Itu yang macam tak berminat nak memanjangkan silaturahim yang telah terbina di antara mereka ketika ini.


Tak pun dia ni gay!


Heh, Hafiza ni bila dah frust memang pandai bab-bab bagi andaian pada orang lain.


"Ohh... kalau macam tu terima kasihlah. Err... ini kad saya. Kalau nak dapat khidmat nasihat guaman ke, nanti saya boleh tolong apa yang patut."


Sebelum mamat-muka-Christiano-Ronaldo-versi-Malayu dengan senyuman 8 juta giga watt tahap membunuh itu berlalu, Hafiza sempat menghulurkan kad namanya.


Harapannya kalau-kalau lelaki itu sudah bercerai atau mungkin dah insaf daripada menjadi gay, bolehlah cuba mengurat Hafiza ini ya. Selepas kereta lelaki itu berlalu, Hafiza pun terus memandu ke pejabat.


"Okey. Abang pergi dulu ya. Assalamualaikum."


Kisah mamat-muka-Christiano-Ronaldo-versi-Malayu dengan senyuman 8 juta giga watt tahap membunuh itu tamat di situ sahaja. Namanya pun Hafiza tak sempat hendak bertanya. Lelaki itu pun langsung tak mahu beritahu namanya pada Hafiza. Sah-sahlah tu dia dah kahwin.


Dan selepas-selepas pada itu tidak pernah pula dia terserempak dengan lelaki tersebut. Mungkin mamat-muka-Christiano-Ronaldo-versi-Malayu dengan senyuman 8 juta giga watt tahap membunuh itu bukan orang yang duduk di kawasan taman perumahan ini agaknya. Cuma telah ditakdirkan kebetulan sahaja dia lalu di situ hari ini untuk menolong Hafiza.



**********


Tiga hari Hafiza melancarkan mogok tak mahu bercakap, tak mahu makan dengan emak dan ayahnya. Walaupun hakikatnya dekat rumah aje Hafiza ni mogok tak makan. Sedangkan dekat ofis dia tetap aje makan macam biasa, malah bertambah lagi sebab tengah sakit hati.


Namun akhirnya selepas menikmati makan malamnya itu (oh, hari ini emak Hafiza masak semua lauk kegemaran dia... mana boleh nak mogok lagi... hahaha...) dia pun menyatakan jawapannya sekalipun emak dan ayah sudah pun bersetuju menerima pinangan Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal tu tanpa bertanya pada empunya diri ini terlebih dahulu.


"Mak... Fiza setuju terima pinangan tu. Asal mak dan ayah gembira, Fiza redha aje sekalipun mungkin Fiza tak akan sebahagia mana..."


Itu mukadimah Hafiza buat emaknya. Bila bercakap dengan Hajah Hardiah ni, ayat tambahan kena kasi dramatik sedikit. Yalah mana tahukan kalau-kalau dengan drama sebabaknya ini, emaknya akan tiba-tiba bersimpati dengan anaknya ini yang kelihatan rela dalam paksa menerima pinangan si Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal itu lalu bersetuju untuk membatalkan perkahwinan yang dirancang.


"Hmmph... sudah! Jangan nak buat muka kesian depan mak. Kahwin tetap kahwin. Mak tak akan tertipunya dengan taktik kamu tu dah."


"Mak ni... Fiza bukannya nak mengelatlah. Betullah Fiza dah redha... Fiza dah buat solat istikharah dan dapat jawapannya."


Memang Hafiza sudah buat solat istikharah tiga malam berturut-turut dan dia sudah pun dapat jawapannya daripada ALLAH. Oh, dia tidak ada pun bermimpikan si Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal tu. Cuma hatinya ini rasa lebih tenang dan tidak runsing lagi memikirkan pasal pinangan orang tua tu.


Mungkin memang ALLAH memang sudah menentukan yang Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal itu yang akan jadi suaminya akhirnya. Larilah sampai ke Timbaktu pun dah ALLAH kata begitu takkan dia nak menidakkannya.


Biarlah... mungkin ada hikmahNYA yang tersembunyi. Man tahu kot-kot Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal tu ada harta berjuta-juta (ringgit ya... bukan rupiah tau) dan bila dah kahwin dia sayang sangat pada Hafiza ni. Lalu sebelum sempat mereka menikmati malam pertama bersama (ewwww... gelinya nak fikir dia akan sekatil dengan Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal tu) orang tua itupun dijemput Ilahi. Maka sebagai si isteri Hafiza pun menjadi waris utama segala harta orang tua itu, sekian terima kasih....


Begitulah fantasi Hafiza!

Fantasi seorang manusia yang cuba redha akan ketentuan ALLAH. Sadis sungguh kan?


"Mak... sekalipun Fiza dah setuju sekarang ni... tapi Fiza ada syarat yang Fiza nak mak, ayah dan pihak sana akur..."


"Syarat? Syarat apa pula ni? Kamu ni macam-macam sungguhlah. Mak dengan ayah nak suruh kahwin pun susah."


"Tak susah mana pun syarat yang Fiza nak orang lain patuhi...Dua sahaja syaratnya. Pertamanya, sebelum majlis akad nikah berlangsung Fiza tak nak dia mahupun keluarga dia call atau datang jumpa Fiza. Fiza nak menikmati kebebasan yang ada sebelum kehidupan Fiza diikat. Kedua, Fiza tak mahu ambil tahu apa-apa pun, tak mahu campur pasal majlis perkahwinan Fiza tu. Mak dengan ayah buat ajelah apa yang patut. Fiza ikut sahaja."


"Isy, habis kalau tak mahu jumpa macam mana dengan kursus kahwin nanti?"


Hajah Hardiah cuba membantah syarat anaknya itu.


"Pergi sahajalah asing-asing. Bukannya tak sah pun kursus nikah kalau pergi asing-asing."


Hafiza menjawab selamba pertanyaan emaknya. Alah, Haji Usin tu dah pernah kahwin. Pak Imam pula lagi tu. Buat apa dia nak kena pergi kursus kahwin macam Hafiza ni.


"Ha, nak beli cincin macam mana pula?"


Sekali lagi Hajah Hardiah cuba membantah syarat Hafiza.


"Beli ajelah apa-apa yang patut. Fiza tak kisah pun. Kalau nak beli cincin, jari manis Fiza ni saiz 9. Susah-susah sangat beli aje rantai atau gelang. Tak ada masalahnya bab takut saiz tak muat atau apa."


Sebaik sahaja dia berkata begitu, dengan muka yang masih jelas nampak bersedih, Hafiza terus meminta diri untuk masuk ke dalam bilik tidurnya.


Biarlah kalau emak dan ayah sudah tetap hatinya nak terima Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal tu jadi menantu mereka, Hafiza akan ikut permintaan ibu bapanya itu. Tetapi mereka juga kena ikut permintaan Hafiza yang dua itu. Dia buat mogok pun tidak nampak ada gunanya. Jadi kali ini biar dia main reverse-psychology. Minta-minta Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal tu akan sedar yang dirinya itu hidung tak mancung, pipi pula mahu disorong-sorongkan.


Hajah Hardiah hanya terkedu melihat anaknya itu. Macam-macam sungguhlah ragam anak daranya seorang ini.



************



Hari itu ketika balik daripada kerja, Hafiza singgah di kedai runcit di kawasan perumahannya untuk membeli roti. Tetapi bukannya roti sebarang roti. Ini roti khas untuk orang perempuan yang di datangi kawan baiknya. Ada faham? Kalau tak faham pergi masuk kelas sains tingkatan 3 balik ya.


Ketika dia sedang membayar harga rotinya itu, bahunya terasa dicuit daripada belakang dan ada suara menegur dirinya.


"Eh, Fiza! Lamanya akak tak nampak Fiza."


Hafiza memusingkan badannya ke belakang dan ternampak Kak Raudah. Wanita itu seniornya semasa di sekolah menengah dahulu. Nama penuhnya Siti Nur Raudah binti Haji Usin!


Oh, apalah malang nasib apabila terserempak dengan bakal anak tiri!


Semenjak dipinang hari itu, Hafiza sungguh-sungguh cuba mengelak daripada terserempak dengan anak-anak Haji Usin. Dia tak tahulah sama ada dia takut di serang oleh anak-anak Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal itu atau dia segan hendak bertentang mata dengan mereka.


Dia tak tahu apa pandangan bakal anak-anak tirinya ini akan ikatan yang bakal di langsungkan tidak lama lagi antara dia dan bapa mereka. Dia juga tidak pernah bertanya pun pada emaknya akan hal ini. Bukankah dia dah kata yang dia tak mahu campur urusan perkahwinan dia langsung.


Dia ingat, emaknya akan termakan taktik reverse-psychologynya itu. Tetapi sebaliknya emaknya langsung tidak kisah. Sekarang ini emak begitu rancak merancang dan sudah pun mula siapkan itu ini bersama makcik-makciknya dan jiran-tetangganya.


"Eh, Kak Raudah... Err... Fiza sibuk sedikit kebelakangan ni."


Dengan senyuman plastik cap segan campur takut-takut, Hafiza membalas teguran itu.


Ohh... yalah nak dekat dah hari langsungnya kan? Mesti macam-macam benda nak dibuat. Ha, okeylah akak balik dulu ya. Nanti insyaALLAH akak sekeluarga pasti akan serbu rumah Fiza. Tak sabar nak tengok anak Hajah Hardiah dengan Haji Hafiz seorang ni kahwin. Mesti meriahkan?"


Kak Raudah sudah tergelak-gelak dengan kata-katanya sendiri.


Sedangkan Hafiza terasa seperti tidak tertelan air liurnya sendiri.


Kak Rudah sekeluarga nak dating serbu rumah dia masa hari dia kahwin?


Mak!!! Itulah Fiza dah kata Fiza tak nak kahwin dengan Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal tu!


Dan di saat dia mahu berlalu daripada kedai runcit tersebut, dia terperasan ada sepasang mata daripada dalam kedai runcit itu sedang memandang pada dia dengan senyumannya.


Di dalam kedai itu, mamat-muka-Christiano-Ronaldo-versi-Malayu dengan senyuman 8 juta giga watt tahap membunuh itu sedang tersenyum pada Hafiza. Siap angkat tangan macam jumpa kawan lama sahaja gayanya pula tu!


Sekali lagi Hafiza terkedu.




***********



Hafiza membelek telefon bimbitnya. Ada mesej yang baru masuk. Siapa sahajalah yang mengganggu dirinya yang sedang enak bergolek-golek di atas katil ni?


- Salam Syg. Syg tgh buat apa tu?

Hafiza berkerut dahi membaca mesej yang diterima. Siapa pula ni tiba-tiba hantar mesej bersayang-sayang dengannya. Nombor pengirim memang tidak tersimpan dalam memori telefon bimbitnya. Silap nombor agaknya orang ni.


+ Sorry. Saya rasa encik silap no. ni.


Baru beberapa saat Hafiza membalas mesej tersebut, dating lagi mesej daripada nombor yang sama.


- Ni no. Hafiza Hafiz kan? xkanlah abg bole tsilap no. phone tunang abg sdr. Mak yang kasi no. syg 2 abg.


Apa? Emak kasi nombor telefon dia pada Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal tu! Emak ni pun satulah. Hafiza kan dah bagi syarat-syaratnya yang perlu dipatuhi dahulu.


Isy, tak padan dengan tua, ada hati nak berabang-abang dengan aku! Dah tu suka-suka hati aje nak panggil emak Fiza tu mak juga. Eee... tak tahu malu sungguh! Geli rasanya jantung Fiza membaca mesejnya itu!


+ Bukan saya dah bagi syarat jgn contact saya sebelum majlis ke?


- Syg kata jgn call, jgn jumpa. Ni abg SMS je kan?

Hmm... betullah juga kata orang tua ni. Dia hanya SMS aje. Bukannya call atau datang jumpa pun seperti syarat Hafiza hari tu.


Eh, tapi sejak bila pula Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal tu jadi lawyer? Pandai pula dia mencari exception pada klausa syarat Hafiza hari tu.


Isy, semua ini memang silap dia sendiri. Masa beritahu syarat-syaratnya pada emak hari tu, patutnya klausa dia menyebut sebarang medium perhubungan. Bukan hanya call atau jumpa sahaja. Huh, macam manalah boleh buat silly mistake ni?



- Abg x sbr nak kawin dgn syg. x sbr tunggu mlm pertama kita. Abg dah buat kira-kira, mlm tu syg mesti x cuti kan? hehehe... I love you syg!


Agaknya bila Hafiza tidak membalas mesej tadi, datang lagi mesej daripada 'tunangnya' itu...


Dan sebaik sahaja mesej itu dibaca, Hafiza sudah menjerit geram.


Eeeeee... teruknya Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal tu!


Ini mesti pasal Kak Raudah ada cerita terjumpa dia petang tadi dan beritahu apa yang dibelinya di kedai runcit tadi.


Sungguhlah rasa tak terbayang nak menghadapi malam pertama dengan Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal tu tau!


**********


Akhirnya... hari yang dinanti oleh emak dan ayahnya tetapi tidak pula dinanti oleh Hafiza tiba juga. Hari perkahwinannya akan berlangsung hari ini. Sebentar lagi majlis akan pernikahan dia dan Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal itu akan berlangsung.


Kalau orang lain, hari inilah bermulanya episod baru cerita gembira buat mereka. Tetapi pada Hafiza, hari inilah akan tamatnya segala kegembiraan dia selama ini. Hari ini hidupnya akan mula dirundung awan duka.

Sekalipun rumahnya sudah dipenuhi oleh sanak saudara sejak dua tiga hari yang lalu lagi, Hafiza langsung tiada hati untuk merasa ceria. Malah malam semalam, dia masih lagi berada di pejabat cuba menyiapkan kerja-kerjanya.


Dia hanya balik pun setelah emaknya menghantar tiga kereta sepupu-sepapatnya datang mengiring suruh dia balik. Siap panggil salah seorang abang sepupunya yang bekerja sebagai polis trafik lagi mengiring kereta mereka. Melampau betul emaknya itu tau.


'Tunangnya' itu pula sejak hari itu sehinggalah lima belas minit yang lalu masih setia menghantar SMS pada Hafiza. Apa isinya? Hmmphh... baik tak payah ceritalah. Nanti-nanti tak pasal sahaja orang lain pun sama rasa loya tekak campur muntah hijau sepertimana yang Hafiza rasa. Isi mesejnya memang jelas menggambarkan nama manja yang Hafiza letakkan pada nombor yang disimpan dalam telefon bimbitnya iaitu Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal.


"Fiza... cepat pengantin lelaki dengan tok imam dah sampai tu."


Suara Mak Chu sudah riuh memanggil Hafiza turun ke ruang tamu di mana majlis pernikahan akan dijalankan. Mahu tidak mahu dengan langkah yang sungguh berat Hafiza turun juga ke bawah sambil diiringi pengapitnya.


Dia diiring keluar ke ruang tamu setelah pengantin lelaki selamat mengambil tempat di atas chior. Sekalipun kedudukannya di sebalik tiang seri rumahnya agak terlindung daripada pengantin lelaki, dia masih boleh nampak sekilas wajah Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal itu yang berbaju melayu warna putih gading dengan serbannya sudah mengambil tempat. Di saat tanpa sengaja sekilas mata mereka bertentangan, sempat lagi Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal itu menghadiahkan senyumannya kepada Hafiza. Di hadapannya pula ada seorang lelaki yang nampak muda memakai baju melayu bewarna putih susu dan lengkap bersongkok. Wajahnya tidak kelihatan pada pandangan Hafiza kerana lelaki itu sedang menunduk.


Isy, mudanya tok kadi yang akan menikahkan dia dan Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal tu?


Degupan jantung Hafiza mula memalu hebat apabila dia terdengar suara jurunikah memulakan majlis pernikahannya pada hari itu. Apa yang juru nikah itu perkatakan langsung tidak masuk ke dalam telinganya kerana dia sibuk menahan debaran yang semakin memuncak di dadanya ketika itu. Kepalanya sentiasa ditundukkan sahaja. Apabila ditanya dia hanya mengiakan sahaja segalanya. Disuruh tandatangan pada borang nikah pun, dia main tenyeh sahaja tandatangannya tanpa melihat segala maklumat adalah betul atau tidak. Muka jurunikah tu pun dia langsung tidak pandang.


Kepalanya benar-benar kosong ketika itu. Hatinya dari tadi terkumat-kamit membaca segala doa penenang diri. Kalau diikutkan rasa mahu sahaja dia menjerit...


'STOPPPPP!!!!'


Tetapi jeritan itu hanya mampu terlafaz setakat di dalam hatinya sahaja. Sekalipun dia tidak rela dengan perkahwinan ini, dia tidak sanggup untuk memalukan emak dan ayahnya dengan memusnahkan harapan mereka melihat satu-satu anak yang mereka ada berkahwin. Dia tidak mahu menghapuskan wajah bahagia emak dan ayahnya yang jelas terpancar sejak beberapa hari yang lalu lagi.


Entah bila tok kadi melafazkan akadnya dan disambut pengantin lelaki pun dia tidak sedar langsung walaupun suara mereka begitu jelas kerana ada mikrofon disediakan sekali untuk majlis ini supaya semua yang ada dapat mendengar. Dirinya sudah terasa di awang-awangan ketika akad sedang dilafazkan. Berwalikan ayah, dengan sekali lafaz akad dan bersaksikan dua orang saudaranya, sahlah kini dia menjadi seorang isteri pada seorang lelaki. Maka secara rasminya juga dia kini adalah isteri kepada Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal. tu.


'Waaaaa... boleh tak kalau nak minta cerai dan-dan ni juga?'


Hatinya menangis sendirian.


Ketika suaminya membaca lafaz taklik, Hafiza mula sedar semula daripada rasa di awangannya tadi. Hati yang bergendang keras sebelum majlis pernikahannya tadi masih belum lagi reda. Untuk majlis resepsi nanti pula entah bagimanalah pula. Apatah lagi bila dia memikirkan yang dia akan bersanding dengan Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal tu.


Setelah doa dibaca oleh kadi, suaminya bergerak ke satu sudut yang telah dikhaskan oleh emaknya untuk bersembahyang dua rakaat. Dengan perasaan gundah Hafiza menunggu suaminya alias Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal menghabiskan sembahyang sunat dua rakaatnya sebelum majlis membatalkan air sembahyang mengambil acara pula selepas ini.


Kalau mengikut perancangan, sepatutnya dia turut mengikuti suaminya bersembahyang sunat dua rakaat itu. Kata emaknya ini adalah langkah pertama buat dirinya sebagai makmum yang diimamkan oleh si suami.


'Huh, kalau setakat nak berimamkan Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal tu bukan ke dah biasa dilaluinya semasa sembahyang terawikh di surau Taman perumahan mereka sejak dia kecil lagi?'


Hati Hafiza hanya merungut sendirian dengan cadangan emaknya itu.


Tetapi sungguhlah ALLAH mendengar doa-doa orang yang teraniya seperti Hafiza ni kan, bila mana apabila seawal pagi tadi dia telah diisytiharkan untuk mengibarkan bendera jepun wanitanya. Hahaha... sukanya hati Hafiza.


Maka malam ini dan untuk sekurang-kurangnya tujuh malam yang berikut padan mukalah Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal tu tak boleh nak sentuh dia. Gumbira rasanya hati apabila memikirkan dia akan selamat daripada aktiviti wajib malam pertamanya.


Setelah Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal tu selesai menunaikan sembahyang sunat dua rakaatnya, lelaki itu mula menghampiri dirinya. Hafiza yang menunduk hanya terus-terusan menunduk ketika Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal itu datang mendekati dirinya untuk menyerahkan mas kahwin sekaligus melakukan acara mambatalkan air sembahyangnya.


Dia masih menunduk saat Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal itu menyerahkan mas kahwin yang bernilai RM 5,000 dalam bentuk dinar emas yang telah digubah menarik.

'Huh, kaya juga Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal ni. Hebat mas kahwin yang dia bagi pada aku.'


Hati Hafiza berdetik nakal sendirian apabila melihat mas kahwinnya itu.


Hailah Hafiza ni... dah nikah pun dia masih lagi gelarkan suaminya itu Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal kan? Kalaulah didengar dek emaknya, mahu dipiat telinganya itu.


Setelah menyerahkan mas kahwinnya kepada pengapitnya yang setia di sebelahnya sejak tadi, dengan teragak-agak dia menghulurkan tangan untuk disarungkan cincin pula.


Sebentuk cincin platinum bertakhta berlian disematkan di jari manisnya sebelum sebuah kucupan dihadiahkan di dahinya. Kerlipan cahaya kamera tidak berhenti dari tadi sememangnya menambahkan lagi rasa malu Hafiza. Hmm... siapalah yang tak rasa malu bila dicium oleh seseorang lelaki yang layak dipanggil ayah? Eee... tak suka... tak suka... tak suka lah...


Dalam keadaan yang masih menunduk juga tangannya dihulur untuk menyalami suaminya pula. Sebuah ciuman pada tapak tangan suami diiringkan sekali. Ketika bersalam, barulah Hafiza perasan yang kulit suaminya itu tak nampak berkedut pun macam orang tua lain.


Isy, Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal ni pakai botox ke?

"I love you sayang…"


Tiba-tiba terdengar ucapan tersebut daripada bibir suaminya.


Eh, apasal suara suaminya alias Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal ini macam suara lelaki muda? Takkanlah dengan trakea dia sekali dia pergi suntik botox?


Akhirnya Hafiza mengangkat wajahnya yang ditunduk sejak tadi. Apabila matanya mula menatap wajah suaminya itu, Hafiza terasa seperti dia sedang bermimpi sahaja.


Lelaki ini? Ya Allah…


Rupa-rupanya mamat-muka-Christiano-Ronaldo-versi-Malayu dengan senyuman yang berkuasa 8 juta giga watt tahap membunuh itulah lelaki yang bernama Haji Hussein yang menjadi suaminya dan bukanlah Haji Usin, si pak imam taman perumahannya ini.


Saat ini hati Hafiza terasa seperti ada sebuah taman yang penuh dengan bunga-bungaan dengan rama-rama yang berterbangan bebas dan dihadapannya ada pelangi berwarna-warni sedang menanti...




***********



Suami Hafiza yang bernama Syed Adi Hussein bin Syed Azrul Hamid itu sudah gelak terbahak-bahak mendengar cerita isterinya. Siap dengan aksi terguling-gulingnya lagi.


Melampau betul tau! Hafiza sudah berpeluk tubuh dengan muka cemberut melihat respon suaminya itu.


Malam ini disebabkan suaminya itu tak boleh nak buat lebih-lebih kerana Hafiza sedang mengangkat bendera jepunnya, lalu mereka memenuhi masa malam pertama dengan bercerita tentang diri masing-masing. Yalah mereka pun belum berkesempatan nak kenal antara satu sama lain dengan betul-betul lagi kan.


Dan apabila suaminya bertanya kenapa Hafiza beri syaratnya yang dua itu sebelum mereka berkahwin, Hafiza pun menceritakan apa yang telah berlaku sejak awal daripada pinangan suaminya itu diterima oleh emaknya.


Selama ini dia menyangka Haji Hussein yang disebut-sebutkankan oleh emaknya itu sebagai calon suaminya adalah Haji Usin imam masjid taman perumahannya yang baru kematian bini lima bulan yang lalu.


Sebab itulah dia cukup menyampah sampai sanggup gelarkan imam itu Haji-Usin-Orang-Tua-Gatal. Kerana itu juga dia mogok dan buat syarat tak boleh jumpa atau call dan tak mahu campur dengan hal ehwal persiapan majlis perkahwinannya.


Itulah bodoh sombong sangat!


Rupa-rupanya Haji Hussein yang dimaksudkan oleh emaknya itu ialah mamat-muka-Christiano-Ronaldo-versi-Malayu dengan senyuman yang berkuasa 8 juta giga watt tahap membunuh yang pernah menolong dia dahulu.


Kata suaminya yang bekerja sebgaai doctor pakar gyne itu (salah satu sebab mengapa biang gatalnya sungguh terserlah semasa bermesej dengan Hafiza ketika bertunang), sudah hampir setahun dia tinggal di taman perumahan ini. Dia memang selalu terserempak dengan Hafiza. Cuma Hafiza sahaja yang tak pernah terperasan akan dia. Yalah Hafzia kan lawyer yang konon-konon sungguh sibuk sampai tak terfikir nak berkahwin.


Lalu daripada situ, entah bagaimana dalam diam hatinya mula terpaut dengan Hafiza. Dan setelah kesempatan bersetentang mata dengan gadis pujaannya ketika kereta Hafiza rosak dahulu, hatinya semakin yakin untuk memiliki hati si gadis itu. Maka kerana itulah dia terus main terjah hantar rombongan meminang ke rumah Hafiza.


Nak dijadikan cerita pula, semasa dia dan keluarganya datang meminang Hafiza; entah bagaimana emak Hafiza terdengar nama Adi Hussein disebut sebagai Aji Hussein. Lalu itulah yang diberitahu kepada anaknya. Dan Hafiza pula bila dah dengar nama Aji Hussein, di kepalanya hanya terus terbayang wajah imam Haji Usin tu.


Eh, tapikan tadi siang selepas majlis pernikahannya, Hafiza dah pun minta maaf daripada Haji Usin sebab dalam diam telah mengutuk lelaki yang tak berdosa itu. Tetapi masa minta maaf tu tidaklah dikhabarkan secara spesifik sebab apa dia tiba-tiba minta maaf. Cuma dia kata saja-saja suka minta maaf secara general dengan semua orang. Konon-konon nak amik berkat sebgaai pengantin baru. Biasalah lawyer kan kena pandai pusing ayat... hahaha...


Apapun hati Hafiza kini sudah terasa lapang selapang-lapang padang bola sepak. Lega sudah rasa hati apabila akhirnya impian untuk berkahwin dengan mamat-muka-Christiano-Ronaldo-versi-Malayu dengan senyuman yang berkuasa 8 juta giga watt tahap membunuh itu sudah pun tercapai.


Selepas ini misinya adalah untuk berusaha bersama-sama Syed Adi Hussein si mamat-muka-Christiano-Ronaldo-versi-Malayu dengan senyuman yang berkuasa 8 juta giga watt tahap membunuh itu menambah ahli keluarga mereka supaya dapat tubuhkan satu lagi pasukan bola sepak Real Madrid.


Yaiy... Chaiyok..chaiyok...Hafiza!!!



-Fin-